“Skuba” ialah meme generasi Alpha yang kemudian diajuk oleh Gen Z, Melenial dan Gen X sehingga mencapai tahap memalukan. Di Singapura, skuba bukan sebuah meme tetapi kemampuan yang diberikan kepada seekor lipas.

Penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang membangunkan sut skuba untuk serangga yang amat ditakuti apabila terbang dan dibenci apabila menjalar. Menggunakan teknik cetakan 3D, sut menyelam skuba lipas ini membolehkan ia menyelam sehingga 3 jam secara berterusan. Sut cetakan 3D melitupi bahagian spirakel pernafasan lipas. Ini menghasilkan gelembung udara yang membekalkan oksigen untuk bernafas di bawah air.
Apabila digabungkan dengan teknologi mengawal lipas yang dibangunkan di Jepun pada tahun 2022, lipas skuba ini boleh digunakan dalam usaha mencari dan menyelamat atau melakukan pemeriksaan paip kecil tanpa ia mati kelemasan.
Kajian telah diterbitkan dalam jurnal Nature.
