Penyeludup cabut lari, rokok seludup lebih RM800,000 dirampas

LocalPolitics
14 Jan 2025 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebahagian kotak rokok ditemui dalam but kereta yang ditinggalkan di kawasan ladang sawit berhampiran Penjara Penor di sini pada awal pagi Selasa.

image is not available
Kotak rokok yang dirampas dibawa ke Markas PPM Wilayah Tiga Kuantan untuk tindakan lanjut.

KUANTAN - Beberapa individu nekad meninggalkan kereta dinaiki di ladang sawit berhampiran Penjara Penor di sini sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran selepas menyedari diekori pihak berkuasa pada awal pagi Selasa.

Hasil pemeriksaan sepasukan anggota Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan ke atas kereta jenis Proton Iswara yang ditinggalkan itu, membawa kepada penemuan 1,950 karton rokok disyaki rokok seludup dianggarkan bernilai RM831,204 termasuk cukai.

Komander PPM Wilayah Tiga Kuantan, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, dalam pemeriksaan kira-kira jam 3 pagi itu, pasukan serbuan turut menemui longgokan kotak berisi rokok seludup di kawasan kira-kira 100 meter dari lokasi kereta itu ditinggalkan.

Menurutnya, semua barang rampasan termasuk kereta dirampas untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kereta RM834,204.

"Dalam pemeriksaan itu, suspek berjaya melarikan diri dan tiada sebarang tangkapan dilakukan," katanya.

Zulafendy berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber bekalan dan kawasan pengedaran rokok-rokok tidak bercukai itu namun tidak menolak berkemungkinan untuk pasaran sekitar daerah ini.

Sementara itu, beliau berkata, PPM Wilayah Tiga sentiasa komited menangani kegiatan penyeludupan kontraband walaupun masih menumpukan kepada penugasan Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

"Jalinan kerjasama dan perkongsian maklumat antara komuniti setempat dengan pasukan ini amat dialu-alukan," ujarnya.