Penyenaraian perniagaan kabel OSK diyakini dapat tambah nilai syarikat, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
16 Dec 2025 • 10:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyenaraian perniagaan kabel OSK diyakini dapat tambah nilai syarikat, kata HLIB
image is not available
haziq16/12/2025 - 10:28 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Dis – OSK Holdings Bhd mempunyai alasan kukuh memisahkan perniagaan kabelnya susulan keadaan industri serta penilaian pasaran dalam kalangan pemain tempatan dan global, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengeluar kabel kelazimannya diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan dalam lingkungan belasan tinggi hingga pertengahan 20-an, mencerminkan keterlihatan hasil yang kukuh.

 

Sebaliknya kata HLIB, OSK diniagakan pada hanya tujuh hingga lapan kali PER hadapan, dengan segmen kabelnya dinilai sebagai tersembunyi dalam diskaun entiti perniagaan yang mengekang penilaian kumpulan itu sendiri.

 

“Dari sudut penilaian, penyenaraian perniagaan kabel berpotensi memberi kesan serta-merta yang menambah nilai, memandangkan pasaran berkemungkinan menilai semula entiti kabel berdiri sendiri lebih hampir kepada gandaan rakan setara, sekali gus membuka nilai yang kini belum dicerminkan dalam harga saham OSK,” katanya.

 

HLIB turut menekankan OSK kini merupakan antara pengeluar kabel terbesar di negara ini, dengan pendapatan dijangka seiring prestasi anak syarikat setaranya. 

 

Ini disokong oleh peningkatan kapasiti sebanyak 30% di kilang Melaka serta pengambilalihan fasiliti Kabel Universal di Johor Bahru, yang menjadikan jumlah kapasiti tahunan mencecah 64,000 kilometer.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan bahawa mengekalkan perniagaan kabel dalam struktur kumpulan boleh menjana nilai jangka panjang yang lebih besar.

 

“Dengan mengekalkan perniagaan ini dalam kumpulan, OSK dapat menyalurkan modal secara lebih cekap ke segmen pertumbuhan tinggi, mengoptimumkan kos pembiayaan dan mempercepatkan peluasan kapasiti pada kadar yang memaksimumkan nilai kepada pemegang saham,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, HLIB berkata OSK sedang mempercepatkan pengembangan perniagaan kredit swasta di peringkat serantau, khususnya ke Singapura dan Australia. 

 

Segmen itu kini berkembang melalui penubuhan pejabat di Singapura serta pelancaran dana baharu di Australia yang membolehkan pengumpulan modal pihak ketiga.

 

Menurutnya, OSK juga telah memperoleh lesen Australia bagi membina perniagaan kredit swasta berskala dan berasaskan yuran, yang berpotensi berkembang secara bebas daripada had kunci kira-kira kumpulan.

 

Bagi segmen hartanah pula, HLIB Research memaklumkan jualan setakat tahun ini masih ketinggalan berbanding sasaran, terutamanya disebabkan ketepuan produk di Iringan Bayu dan permintaan yang lebih lembut bagi fasa lewat Shorea Park.

 

“Kumpulan kini memperkukuh pasukan pemasaran dan menentukan semula campuran produk bagi meningkatkan momentum jualan menjelang FY26,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard