
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memuji keputusan Kerajaan Perpaduan baharu pimpinan Pakatan Harapan untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas kepada Sabah sebagai satu langkah ke hadapan ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, keputusan ini sentiasa menjadi aspirasi Sabah dan rakyat.
“Kerajaan Negeri telah bertegas dalam usaha kita untuk mengawal dan mengurus sumber minyak dan gas negeri,” katanya dalam kenyataan pada 21 Disember.
Ketua Menteri berkata, beliau telah membangkitkan keperluan untuk memenuhi MA63 semasa pertemuan pertamanya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
Anwar mengumumkan keputusan itu dan berkata, tarikh pelaksanaan pemindahan itu akan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Atas perkenan Agong, Dewan Undangan Negeri Sabah akan mengadakan sidang khas untuk meluluskan dan mewartakan Rang Undang-undang Negeri Sabah bagi pembekalan gas dan Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia untuk bekalan gas darat (regasifikasi, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di Sabah berkuat kuasa serta merta.
Terdahulu, Anwar berkata perkara itu diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan MA63.
“Beberapa isu besar dapat kita luluskan umpamanya hari ini. Sebagai contoh, kita bersetuju untuk memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Petronsa kepada (kerajaan) Sabah.
“Ini berlaku untuk Sarawak, dan kini buat Sabah pula, tentunya tarikh pelaksanaan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Kabinet sudah memperakuinya,” katanya.
Berkuat kuasa 1 Jun 2021, kerajaan Sarawak mempunyai kuasa penuh bagi mengawal selia aktiviti pengedaran gas di negeri itu selepas Kerajaan Persekutuan memberi pengecualian mendapatkan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962.
Anwar berkata menerusi pemindahan kuasa kawal selia itu, penetapan harga dan perjanjian baharu bekalan gas di Sabah akan ditentukan oleh kerajaan negeri.
Mengenai perkembangan MA63, Perdana Menteri itu berkata beberapa kemajuan berhubung perkara itu akan diumumkan bulan depan.
“Seperti kita tahu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, (saya) bagi tempoh sebulan untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan (berhubung MA63), insya-Allah awal bulan depan, kita akan umumkan beberapa kemajuan jauh lebih baik,” katanya.
Beliau berkata perkara lain dalam MA63 yang melibatkan perundangan dan pindaan undang-undang sediakan akan ditangguhkan hingga sidang Parlimen akan datang.
Anwar turut berterima kasih kepada Fadillah kerana membentangkan usul undi percaya, yang diluluskan melalui undi suara di Parlimen.
Beliau berkata berikutan bukti beliau mempunyai majoriti Dewan Rakyat, pentadbirannya kini boleh menumpukan usaha menjana pertumbuhan ekonomi.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dalam ‘kerajaan perpaduan’ dan dalam kes ini, tiada bantahan daripada Pembangkang,” kata Anwar.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
