Penyertaan Kerajaan Pahang percepat usaha Felda capai pemilikan 90% saham FGV

LocalBusiness & Finance
27 May 2025 • 9:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyertaan Kerajaan Pahang percepat usaha Felda capai pemilikan 90% saham FGV

image is not available

27/05/2025 - 09:24

KUALA LUMPUR 27 Mei - Penyertaan Kerajaan Pahang sebagai antara pihak-pihak yang bertindak secara sepakat (PAC) dalam pengambilalihan sukarela tanpa syarat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terhadap baki saham FGV Holdings Bhd (FGV) akan mempercepat usaha agensi itu mencapai pemilikan 90% saham seperti yang disyaratkan Bursa Malaysia.

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu juga memperlihatkan kesepakatan antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri dalam agenda pembangunan sektor perladangan negara.

Beliau berkata, kerjasama erat dengan Kerajaan Pahang membuka ruang kepada sinergi lebih luas dalam aspek pemerkasaan ekonomi peneroka.

“Sekarang Felda mempunyai 82% dan pemilik saham lain yang terbesar adalah Kerajaan Pahang iaitu 5%. Bunyinya 5% namun tanpa lima peratus itu, ia tidak mencapai 90% seperti disyaratkan Bursa Malaysia.

“Dengan ini, proses mendapatkan 90% seperti disyaratkan itu semakin hampir. Pada masa sama, perjanjian ini menjadikan hubungan Kerajaan Negeri Pahang dan Felda (sebagai) satu hubungan yang akrab dan penting dengan banyak keputusan mesti dilihat secara bersama,” katanya selepas majlis ramah mesra Felda bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata penyertaan Kerajaan Pahang dalam pengambilalihan itu sebagai manifestasi kesungguhan kerajaan negeri untuk menjadi sebahagian daripada agenda nasional yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, kelangsungan FGV dan kesejahteraan masyarakat Felda.

“Saya beri jaminan kerajaan negeri akan terus menyokong semua agenda besar Felda termasuk pembangunan semula kawasan rancangan lama, mempertingkatkan kemudahan awam dan prasarana, meningkatkan nilai tahap tanah dan mengukuhkan kualiti hidup peneroka khususnya generasi baharu Felda,” katanya.

Terdahulu, FGV menerima tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat daripada Felda yang bertujuan untuk mendapatkan semua baki saham dalam syarikat itu yang belum dimilikinya.

Menerusi notis dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank Bhd bagi pihak Felda, tawaran itu mencadangkan bayaran tunai sebanyak RM1.30 sesaham untuk semua saham biasa FGV yang tidak dipegang oleh Felda ketika ini.

Setakat 20 Mei 2025, jumlah modal saham terbitan FGV adalah sebanyak RM7.02 bilion, terdiri daripada 3.64 bilion saham biasa dan satu saham khas dipegang oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Selain Kerajaan Negeri Pahang, PAC membabitkan anak syarikat milik penuh Felda, Felda Asset Holdings Company Sdn Bhd.- DagangNews.com

featured standard