Penyertaan semula bekas ahli, pemimpin UMNO sangat menggalakkan - Ahmad Zahid

LocalPolitics
7 Mar 2026 • 5:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Program Ihya’ Ramadan Al-Mubarak 1447H/2026M DUN Rungkup, Parlimen Kawasan Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini pada Sabtu.

BAGAN DATUK – Penyertaan semula bekas ahli dan pemimpin ke dalam UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenal parti itu disifatkan sangat menggalakkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sambutan terhadap konsep tersebut amat baik apabila ramai yang menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO.

Menurutnya, permohonan penyertaan semula itu kini diuruskan oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“(Permohonan bekas ahli dan pemimpin untuk menyertai semula UMNO) sangat-sangat menggalakkan. Sangat-sangat baik.

"Sempena dengan bulan Ramadan ini, saya fikir UMNO amat bersyukur kerana saudara-saudara baru telah timbul dalam kalangan mereka yang berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Ihya’ Ramadan Al-Mubarak 1447H/2026M Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Parlimen Kawasan Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa itu telah mengadakan mesyuarat bagi meneliti permohonan yang diterima.

Menurutnya, permohonan tersebut perlu dibuat secara rasmi bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

"Saya yakin jawatankuasa itu tidak mengenakan sebarang syarat, tetapi mereka mahu permohonan dibuat secara rasmi supaya tidak timbul masalah di belakang hari nanti,” katanya.

Ditanya mengenai respon terhadap kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, beliau secara sinis memberitahu tidak mengenali pemimpin itu.

"Saya tak kenal dia dan saya tak pernah tahu dia," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ringkas.

Media sebelum ini melaporkan, Isham menolak ajakan Ahmad Zahid yang mempelawa mana-mana ahli pernah digantung atau dipecat untuk kembali menyertai parti itu dan Rumah Bangsa.

Isham yang dipecat pada 2023 menegaskan bahawa dirinya tidak berminat dengan pelawaan tersebut atas alasan Rumah Bangsa masih dalam kerangka Kerajaan Madani, sekali gus menunjukkan parti itu terus berkait rapat dengan DAP dari segi kerjasama.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, seramai kira-kira 1,548 penerima menerima sumbangan sempena program berkenaan.

Penerima sumbangan itu melibatkan golongan asnaf, ibu tunggal, bapa tunggal, anak yatim, ketua isi rumah miskin serta orang kurang upaya (OKU) melibatkan nilai keseluruhan RM246,800.