Penyokong Manchester City sembunyi botol Arsenal

Football
6 May 2026 • 1:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penyokong Manchester City sembunyi botol Arsenal
Reaksi Rehman selepas City seri dengan Everton.

PENYOKONG tegar Manchester City, Tal Rehman, yang sebelum ini tular kerana tindakan beraninya mengejek Arsenal, dilihat terpaksa 'menyimpan' botol berlogo The Gunners di dalam poketnya selepas City sekadar terikat 3-3 menentang Everton di Stadium Hill Dickinson pada Selasa.

Rehman mula menjadi sebutan di media sosial bulan lalu apabila dirakam meminum air daripada botol berlogo Arsenal ketika kemenangan 3-0 City ke atas Chelsea di Stamford Bridge.

Tindakan itu dianggap sebagai sindiran susulan kekalahan mengejut Arsenal kepada Bournemouth sebelum itu.

Botol itu sekali lagi muncul pada minggu berikutnya ketika City menumbangkan Arsenal 2-1 di Stadium Etihad sekali gus merapatkan jurang mata kepada hanya tiga mata di belakang skuad kendalian Mikel Arteta.

Bagaimanapun, situasi berbeza berlaku dalam aksi menentang Everton. Selepas Arsenal melebarkan jurang kepada enam mata hasil kemenangan ke atas Newcastle United dan Fulham, tekanan jelas berada di bahu City untuk membawa pulang tiga mata dari Merseyside.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu hampir dimalukan sebelum gol penyamaan Jeremy Doku pada minit ketujuh masa kecederaan menyelamatkan satu mata buat City.

Keputusan 3-3 itu menyaksikan City kini ketinggalan lima mata di belakang Arsenal dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Kehadiran Rehman di zon penyokong pelawat tidak terlepas daripada lensa jurugambar.

Peminat Arsenal yang menyedari botol sindiran yang sering dibawanya itu kali ini disembunyikan di dalam poket jaketnya yang berzip, dipercayai kerana keputusan perlawanan yang tidak memihak kepada mereka.

Sebelum ini, Guardiola pernah menasihati penyokong City agar sentiasa menghormati Arsenal walaupun persaingan merebut kejuaraan liga semakin sengit.

"Menewaskan Arsenal sekali pun sudah cukup sukar, bayangkan terpaksa menentang mereka dua kali dalam tempoh beberapa minggu. Kita perlu rehat dan bersedia sepenuhnya.

"Saya mahu katakan kepada peminat tolong hormati Arsenal. Mereka adalah pasukan yang luar biasa," katanya.

"Ini bukan kenyataan naif, tetapi realiti. Teruskan menyokong kami, pemain akan berikan yang terbaik," kata Guardiola.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved