Penyokong PH sedia undi BN, penyokong UMNO pula `canggung' undi PH - Ilham Centre

Politics
11 Aug 2023 • 4:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyokong PH sedia undi BN, penyokong UMNO pula `canggung' undi PH - Ilham Centre

johardy

11/08/2023 - 16:33

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai masalah untuk memindahkan undi mereka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, ahli UMNO atau penyokong BN kelihatan canggung untuk menyokong calon PH, menurut dapatan kaji selidik badan pemikir, Ilham Centre menjelang pilihan raya di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Sebanyak 27 peratus dan ke atas menyatakan sukar untuk mereka memangkah logo PH kerana faktor DAP.

“Oleh itu kadar perpindahan undi antara PH-BN adalah berbeza memaksa analisis secara mikro dilakukan setiap DUN kerana penerimaan adalah berbeza antara DUN di enam negeri ini,” katanya dalam kenyataan yang boleh diperoleh di laman facebook di sini.

image is not available

Kajian itu turut mendapati wujud penolakan ketara akar umbi UMNO dan pengundi atas pagar yang mengundi BN sebelum ini terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Boleh dirumuskan hampir konsensus pandangan ahli UMNO akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati kepada Presiden UMNO menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN. Sebahagian besar agak pasif dan dalam mode tunggu dan lihat,” katanya.

Ahli UMNO termasuk jentera turut mengakui masih sukar untuk menerima PH atas faktor DAP dan sebahagian lagi kerana Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya UMNO gagal memberikan penjelasan dengan baik kepada akar umbi berhubung dua pendirian iaitu tidak bergabung PH dan pendirian ‘no Anwar, no DAP’.

Pendirian itu diusulkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

Ilham Centre berkata, disebabkan faktor di atas, kadar perpindahan undi antara PH-BN adalah berbeza memaksa analisis secara mikro dilakukan setiap DUN kerana penerimaan adalah berbeza antara DUN di enam negeri ini.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, pola sokongan anak muda terutama pada julat umur 18 tahun hingga 25 tahun memihak kepada PN.

"Ternyata maklumat yang ditemui dalam kajian ini membuktikan pola itu masih kekal dan PH menghadapi cabaran untuk menganjak dan menarik sokongan pada segmen ini.

"Walaupun PMX begitu agresif berdialog dan turun bertemu anak muda di kampus, ternyata ia belum memadai untuk merubah secara peratusan besar menukar sokongan mereka kepada parti pemerintah," kata Ilham Centre. - DagangNews.com