Penyokong Rafizi tidak akan keluar parti: Aminuddin

LocalPolitics
26 May 2025 • 1:08 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkeyakinan penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan keluar parti selepas pemimpin reformis parti itu tewas pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden, Jumaat lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, sebaliknya mereka hanya memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum bangkit semula bersama parti meneruskan perjuangan.

"Mereka tidak akan keluar parti, tetapi melihat strategi yang boleh dimainkan di peringkat ranting dan cabang sebagai langkah ke hadapan.

"Saya sebahagian daripada 'orang kuat' Datuk Seri Rafizi dan saya yakin mereka akan mengambil masa sedikit untuk tenang dan memberikan sokongan semula kepada parti," katanya kepada media di Nilai, malam tadi.

Rafizi tewas pemilihan PKR peringkat Pusat bagi jawatan nombor dua parti kepada Nurul Izzah Anwar. Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memperoleh 9,803 undi, manakala Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan meraih 3,866 undi.

Aminuddin yang berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR daripada 12 calon bertanding, berkata beliau tidak menyangka mampu mempertahankan jawatan disandangnya.

Selain itu beliau berkata, PKR tidak akan mengambil mudah pelbagai pandangan daripada pemimpin dan ahli akar umbi parti seperti disuarakan sepanjang tempoh kempen dan semasa pemilihan parti.

“Kepemimpinan parti perlu merangka strategi dan berusaha mengatasi pelbagai perkara yang dibangkit atau diperbincangkan termasuk di media sosial.

"Walaupun pemilihan parti sudah berakhir, melihat di pelbagai media sosial, pelbagai perkara masih diperdebatkan.

“Saya lihat pimpinan PKR perlu rangka strategi dan memberi penerangan yang baik. Kita tidak boleh ambil mudah komen daripada rakyat.

"Kita perlu perbaiki apa jua pandangan dan bekerja lebih kuat daripada apa yang ada sekarang dalam menuju pilihan raya," katanya. - 26 Mei, 2025