Perahu Tambang Bawa Pelajar Karam: Seorang Mangsa Ditemui Lemas, 2 Lagi Masih Hilang

21 Aug 2024 • 2:56 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Pagi semalam (20 Ogos), sebuah perahu tambang yang membawa 15 pelajar dan empat penduduk kampung termasuk pengemudinya dari Kampung Selampit di Lundu, Sarawak dilaporkan karam.

Dalam tragedi tersebut, tiga pelajar yang sedang dalam perjalanan ke sekolah yang menaiki perahu berkenaan dilaporkan hilang.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 6.33 pagi dan segera mengatur gerak sebuah jentera dan tujuh anggota ke lokasi dari Balai Lundu untuk kerja menyelamat, lapor Awani.

Salah seorang pelajar yang hilang ditemui lemas

Terbaharu, salah seorang pelajar yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu telah ditemui lemas.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat pelajar lelaki dikenali sebagai Vilkie Wilson, 15, pada 11.58 pagi tadi.

Menurutnya, pencarian diteruskan untuk mengesan dua lagi pelajar perempuan yang hilang iaitu Alsma Jithil, 14 dan Helena Fasha Petrus, 17.

“Mayat mangsa (Vilkie) ditemui terapung pada jarak kira-kira 10m dari pusat kawalan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dipetik Harian Metro.

Operasi SAR turut disertai PPDA, PPM, LSS dan APM

Terdahulu, operasi SAR yang diaktifkan pagi semalam turut disertai anggota penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Batu Lintang.

Selain itu, seekor anjing pengesan juga dibawa ke lokasi bagi membantu operasi mengesan mangsa.

Pasukan Marin (PPM) Wilayah 5, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung turut terbabit dalam operasi berkenaan.

PGU PDRM sertai operasi SAR

Kemaskini terbaharu dari Sarawak Edition mendapati Helikopter dari Unit Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM turut menyertai operasi SAR.

Source: