Perak akan bangunkan Balai Cerap Negeri di Segari kos RM38 juta

LocalSpace
11 Jun 2026 • 8:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perak akan bangunkan Balai Cerap Negeri di Segari kos RM38 juta
Saarani melihat peralatan cerapan bulan melawat ruang pameran selepas hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Falak di Hotel Impiana pada Khamis. Foto Bernama

IPOH - Kerajaan Perak akan membangunkan Balai Cerap Negeri di Pantai Pasir Panjang, Segari di Manjung bagi menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ilmu astronomi di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan pembangunan itu kini dalam peringkat penelitian melibatkan beberapa agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta Jabatan Mufti Negeri Perak.

Menurutnya, tapak cadangan utama seluas kira-kira 3.8 hektar itu telah dikenal pasti bersesuaian memandangkan ia telah lama digunakan sebagai tapak cerapan anak bulan rasmi negeri.

"Sebelum ini, aktiviti cerapan anak bulan rasmi Negeri Perak dilaksanakan di Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang, lokasi yang telah lama menjadi lokasi cerapan falak negeri.

"Rancangan pembangunan baharu ini adalah bagi memperkukuh kemudahan sedia ada secara lebih tersusun, selain usaha mengembangkan aktiviti falak serta astronomi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, projek berkenaan dianggarkan menelan kos sekitar RM38.65 juta yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri, tertakluk kepada penelitian teknikal serta kelulusan.

Katanya, pelaksanaan projek bergantung kepada reka bentuk serta kajian terperinci oleh pihak JKR yang bertanggungjawab menguruskan keseluruhan pembangunan termasuk pelantikan perunding.

“Tempoh pelaksanaan bergantung kepada reka bentuk yang akan disediakan, jadi kita serahkan kepada JKR untuk uruskan perkara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kemudahan sedia ada seperti Balai Cerap Tan Sri Harussani di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Behrang akan terus dimanfaatkan.

"Kewujudan dan perancangan kemudahan seperti ini menunjukkan bahawa falak tidak wajar dibiarkan berada di pinggir minat masyarakat atau terbatas dalam ruang seminar semata-mata.

"Ia perlu mendekati sekolah, universiti, masjid, surau, komuniti belia dan keluarga melalui bahasa yang mudah, pendekatan yang menarik dan pengalaman yang meninggalkan kesan," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, Bulan Falak perlu dijadikan titik permulaan untuk memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap ilmu falak, termasuk memberi ruang kepada orang ramai memahami kepentingannya dalam urusan ibadah umat Islam.

Beliau berkata, kerjasama antara Jabatan Mufti, institusi pendidikan, universiti, sekolah, masjid dan agensi berkaitan perlu diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang berminat mendalami bidang itu.

“Ilmu falak mengajar nilai ketelitian. Penentuan waktu solat, arah kiblat dan awal bulan tidak boleh dibuat secara sambil lewa atau berdasarkan sangkaan, sebaliknya memerlukan disiplin, amanah dan tanggungjawab,” katanya.

 

 

View Original Article