Perak benar amal Tarekat Naqsyabandiah bersyarat

LocalPolitics
4 Aug 2022 • 12:24 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

IPOH - Kerajaan negeri Perak membenarkan amalan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani secara bersyarat melalui pewartaan fatwa mengenainya pada 22 Julai lalu. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, warta fatwa berkenaan hanya merujuk amalan tarekat berkenaan yang berada di dalam negeri ini sahaja dan tidak tertakluk kepada negeri-negeri lain. Menurutnya, menjadi kewajipan pimpinan-pimpinan tarekat berkenaan untuk memastikan garis panduan yang termaktub di dalam fatwa dipatuhi. "Fatwa berkenaan merujuk hanya di dalam negeri Perak, jadi Jawatankuasa Fatwa berpuas hati pengamalan tarekat itu di negeri Perak masih di dalam kerangka Ahli Sunah Wal Jamaah. "Perak masih belum ada enakmen kawalan tarekat, jadi kita kawal bukan mengongkong. Kita kawal untuk memastikan supaya tarekat berkenaan tidak terkeluar daripada Ahli Sunah Wal Jamaah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penutupan Multaqa Ilmuan Islam Bersama Mufti Negeri Perak di Hotel Seri Malaysia, di sini pada Rabu. Majlis tersebut disempurnakan oleh Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh. Sementara itu, Zamri berkata, Multaqa Ilmuan Islam yang dianjurkan itu antara lain memberi ruang seluas-luasnya kepada peserta untuk mendapatkan maklumat terperinci dan lengkap mengenai pewartaan fatwa berkenaan. Menurutnya, peserta yang hadir terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Fatwa dan Ahli Jawatankuasa Kajian Fiqh negeri Perak dan Jawatankuasa Haiah Ulama iaitu satu kumpulan ulama anak-anak Perak. Jelasnya, turut dijemput di dalam program berkenaan ialah guru-guru takmir dan penceramah-penceramah selebriti yang sering menyampaikan pandangan di dalam masyarakat. Berdasarkan warta bertarikh 22 Julai 2022 itu, Jawatankuasa Fatwa Perak yang bersidang pada 14 Februari 2022 dengan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah membenarkan tarekat tersebut diamalkan dengan syarat ia tidak bercanggah dengan asas akidah dan syariah. Pengamal tarekat berkenaan juga perlu memastikan tidak berlaku amalan dan perbuatan yang tidak bersesuaian dengan adat atau kebiasaan masyarakat setempat. Selain itu, Jawatankuasa Fatwa turut menetapkan pemimpin tarekat atau wakilnya yang dilantik hendaklah merupakan seorang pemegang tauliah mengajar dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menurut peraturan-peraturan berkaitan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved