IPOH – Perak memperuntukkan caruman permulaan sebanyak RM50 bagi hampir 2,000 ibu tunggal yang tersenarai dalam e-Kasih untuk membuka akaun i-Suri di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai langkah memberi perlindungan kewangan kepada golongan berkenaan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Salbiah Mohamed berkata, caruman secara sekali beri itu merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui peruntukan di bawah portfolionya bagi membantu ibu tunggal khususnya dalam kalangan miskin tegar agar mempunyai simpanan asas.
Menurutnya, inisiatif tersebut diperkenalkan susulan kesukaran sebahagian wanita untuk menyediakan perlindungan kewangan sendiri disebabkan kekangan kewangan.
"Melalui pendekatan ini kita memperuntukkan sedikit peruntukan untuk ibu tunggal yang berada dalam senarai e-Kasih.
"Jumlahnya hampir 2,000 orang dan kita mulakan dengan caruman RM50 sebagai simpanan permulaan bagi pembukaan akaun i-Suri kepada penerima yang layak," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Salbiah berkata, melalui skim i-Suri itu pencarum akan menerima insentif tambahan daripada kerajaan sekiranya membuat simpanan sendiri sepanjang tahun.
Tambah beliau, selain insentif tambahan, pencarum juga layak menerima manfaat perlindungan termasuk khairat kematian berjumlah RM2,500.
Menurutnya, simpanan tersebut bukan bersifat tahunan sebaliknya kekal sebagai simpanan jangka panjang yang boleh dimanfaatkan oleh pencarum.
"Sekiranya mereka membuat simpanan pada tahun ini tetapi tidak meneruskannya pada tahun berikutnya, mereka tidak layak menerima tambahan 50 peratus itu.
"Namun jika mereka terus membuat simpanan, mereka akan terus mendapat insentif tersebut," katanya.
Beliau berkata, langkah membuka akaun i-Suri itu juga bertujuan menggalakkan golongan ibu tunggal untuk meneruskan simpanan walaupun dengan jumlah kecil.
Dalam perkembangan sama, Salbiah berkata, sambutan Hari Wanita peringkat negeri Perak tahun ini diadakan lebih awal berbanding tarikh rasmi sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac.
Menurutnya, program berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta individu bagi meraikan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat.
Tambah beliau, sambutan tersebut bukan hanya tertumpu kepada satu program sahaja sebaliknya turut diperluaskan ke daerah-daerah di seluruh negeri melalui pelbagai aktiviti dan program pemberdayaan wanita.
Katanya, usaha itu dilaksanakan bagi memastikan enam aspek teras utama di bawah Sekretariat Pembangunan Wanita dapat dicapai sekali gus memperkasa peranan wanita dalam pembangunan negeri.
