Perak catat peningkatan kes jenayah dalam talian

4 Oct 2023 • 8:59 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Polis Perak menyiasat 2,179 kes-kes jenayah komersial yang membabitkan kerugian berjumlah lebih RM77.7 juta dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (gambar) berkata berbanding tahun lepas, jumlah kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama ialah 2,053 kes dengan nilai kerugian lebih RM100.99 juta.

Beliau berkata jumlah kes paling banyak yang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dalam tempoh berkenaan adalah berkaitan jual beli atas talian, Macau Scam, pelaburan, tawaran kerja dan pinjaman tidak wujud.

Katanya pada masa yang sama JSJK Perak berjaya mengesan lebih 1,096 individu turut terlibat dalam modus operandi jenayah komersil berkenaan, yang kebanyakannya adalah pemilik akaun sah, atau dikenali sebagai ‘keldai akaun’.

“Kita juga telah berjaya mematahkan sindiket tipu nombor ramalan, ejen pencari akaun keldai, malah kita rutu menangkap beberapa individu dipercayai terlibat dengan kegiatan ‘Ah Long’ yang melakukan perbuatan khianat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya juga telah menggerakkan pelbagai kempen-kempen kesedaran yang bertujuan memastikan orang ramai lebih peka terhadap modus operandi sindiket penipuan berkenaan.

“Pihak polis (Perak) telah melakukan 858 aktiviti dan program pencegahan bagi memerangi jenayah dalam talian atau ‘scammer’ yang melibatkan program-program ceramah, syarahan, sembang santai, pameran media cetak termasuk di media sosial.

Katanya polis Perak menerusi JSJK akan terus melaksanakan kempen-kempen bagi memberi kesedaran dan penerangan kepada orang ramai mengenai modus operandi yang sering digunakan sindiket untuk menipu orang ramai.

“Walaupun pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan namun kita lihat masih ramai yang menjadi mangsa terhadap penipuan itu, (ada antaranya) terdiri daripada golongan profesional, warga emas, pesara kerajaan dan swasta serta golongan wanita,” katanya. -Bernama