Perak Corp jual dua tanah RM23.25 juta di Hulu Bernam Timor kepada Makmur Impian Property
diyana
18/08/2023 - 10:08
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Perak Corp Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, akan menjual dua bidang tanah di Hulu Bernam Timor, Perak berharga RM23.25 juta kepada Makmur Impian Property Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Perak Corp berkata ia telah memeterai perjanjian tambahan untuk perjanjian jual beli (SPA) berkenaan penjualan dua bidang tanah tersebut dengan Makmur Impian Property.
Syarikat berstatus PN17 itu berkata, di bawah terma utama baharu, pihaknya dan Makmur Impian Property bersetuju untuk meminda pertimbangan awal bagi cadangan penjualan kepada RM23.25 juta daripada RM24.97 juta.
SPA tersebut merupakan sebahagian daripada urus niaga yang ditetapkan di bawah perjanjian usaha sama yang dimeterai Perak Corp dan ARX-YSC Sdn Bhd (ARX) pada 10 September 2019.
Oleh itu, pertimbangan yang disemak semula dibuat selepas ditolak baki bahagian ARX sebanyak RM1.71 juta.
Menurut Perak Corp, pertimbangan yang disemak semula untuk cadangan penjualan itu dicapai atas dasar 'kesediaan pembeli-kesediaan penjual', walaupun nilai pasaran tanah itu sebanyak RM31.85 juta.
Tambahnya, disebabkan syarikat diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah PN17, cadangan penjualan itu memberi ruang kepadanya untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada operasi perniagaan kumpulan.
Jelasnya, ini akan meningkatkan kedudukan aliran tunai kumpulan secara keseluruhan, selain mengukuhkan kedudukan kewangannya sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula.
"Cadangan penjualan itu adalah langkah sementara untuk meningkatkan hasil tunai yang diperlukan bagi pelan penyusunan semula perniagaan kumpulan, yang masih dalam peringkat dimuktamadkan pada tarikh pengumuman ini," katanya.
Perak Corp berkata cadangan penjualan itu dijangka menjana anggaran keuntungan bersih sebanyak RM8.3 juta di peringkat syarikat dan kumpulan.
Pada waktu penulisan, saham Perak Corp tidak berubah pada 28.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM28.5 juta. - DagangNews.com


