Perak dapat capai 80 peratus liputan 5G menjelang 2024

28 Oct 2022 • 12:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Perak dijangka dapat mencapai 80 peratus liputan rangkaian 5G menjelang 2024, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata bandar raya Ipoh ialah lokasi pertama yang mempunyai liputan 5G dengan capaian kelajuan melebihi 1 gigabait per saat dan akan diperluas ke daerah lain antaranya Manjung, Kuala Kangsar dan Taiping.

“Sehingga kini struktur 5G telah dipasang di 37 tapak rangkaian di sekitar Ipoh dan dijangka sebanyak 106 tapak rangkaian 5G akan dibina menjelang penghujung tahun ini. Di bandar raya Ipoh ini kita telah mencapai purata kelajuan 5G iaitu 620 megabait per saat dan ada kalanya mampu mencapai melebihi 1 gigabait per saat rangkaiannya.

“Kita melihat liputan 5G secara meluas ini dapat memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi selain membantu melahirkan rakyat di negeri ini celik IoT (Internet benda) selaras dengan perkembangan teknologi digital,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan YTL Communications Sdn Bhd berhubung pelaksanaan rangkaian 5G di sekitar Bandaraya Ipoh di Dewan Mesyuarat MBI.

Pada majlis itu, MoU berkenaan ditandatangani Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin yang mewakili MBI manakala YTL diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Lee Wing Kui. - Bernama