
IPOH – Perak terus memperkukuh pembangunan gerakan koperasi sekolah menengah negeri ini yang berstatus mikro berpendapatan bawah RM200,000 melalui penyediaan peruntukan progresif berjumlah RM100,000.
Pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERKS) Negeri Perak 2026 itu pertama kali diadakan melibatkan 25 koperasi sekolah terpilih di seluruh negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed, program itu berbentuk dua dalam satu iaitu mengupayakan koperasi sekolah dan pelajar terpilih akan menerima manfaat keperluan persekolahan.
“Program ini merupakan antara inisiatif bagi merangsang aktiviti perniagaan koperasi sekolah, meningkatkan nilai jualan dan transaksi serta memperkukuh kedudukan kewangan koperasi sebagai institusi ekonomi pendidikan yang mampan.
“Pelaksanaan PERKS 2026 memberi tumpuan kepada pengukuhan aktiviti perniagaan koperasi sekolah melalui mekanisme baucar pembelian RM50 kepada ahli yang layak,” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERS) Tahun 2026. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan cek cura kepada 25 sekolah menengah terpilih.
Katanya, baucar itu boleh ditebus di koperasi sekolah yang mengambil bahagian bagi mendapatkan keperluan persekolahan yang dibenarkan.
“Melalui peruntukan ini, seramai 2,000 pelajar bakal menerima manfaat program, manakala 25 koperasi terpilih akan bertindak sebagai pelaksana bagi memastikan aktiviti penebusan baucar dapat dilakukan secara teratur dan berkesan.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan perniagaan koperasi serta memperluas peluang kepada koperasi sekolah untuk meningkatkan aktiviti ekonomi, menambah pusingan modal dan menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti berkoperasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Perak perkasa ekonomi koperasi sekolah menengah negeri appeared first on Kosmo Online.





