
KUALA LUMPUR: Hanya Perlis dan Perak yang ditadbir Barisan Nasional (BN) setakat ini, akan memohon perkenan Sultan dan Raja di negeri masing-masing, untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) mereka selaras pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa hari ini.
Sementara negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang serta Kedah, Terengganu dan Kelantan di bawah kerajaan PAS, menetapkan tidak membubarkan Dun masing-masing.
Bagi negeri yang melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) antara tempoh September 2020 hingga November lepas iaitu Sabah (26 Sept 2020), Melaka (22 Nov 2021), Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022) juga tidak berhasrat membubarkan Dun mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini, mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dun masing-masing pada tarikh yang sama dengan pembubaran Parlimen.
Susulan itu di PERAK, Menteri Besarnya Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau akan memohon perkenan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, berhubung pembubaran Dun dalam masa terdekat.
“Tarikh pembubaran Dun bergantung kepada limpah perkenan Sultan Perak,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Di PERLIS, Menteri Besarnya Datuk Seri Azlan Man memaklumkan Dun Perlis akan dibubarkan setelah mendapat perkenan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan tarikh menghadap Baginda akan dimaklumkan kelak.
Terdahulu di ibu negara, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC Ke-76 hari ini mengesahkan Dun Perak, Perlis dan Pahang akan dibubarkan, sementara Dun Melaka, Johor dan Sabah tidak akan dibubarkan, kerana tidak mencapai tempoh matang.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan sebelum ini juga mengulangi pendirian parti bahawa Dun Kedah, Terengganu dan Kelantan, tidak dibubarkan dalam tempoh terdekat, sebaliknya kerajaan negeri masing-masing menumpukan usaha persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda pertengahan November hingga Mac 2023.
Di KELANTAN, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata setakat ini kerajaan negeri tidak akan membubarkan Dun mereka, walaupun Parlimen telah dibubarkan dan dijangka pembubaran Dun paling awal adalah Mac depan.
Sementara itu di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebarang keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) akan disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS pagi esok.
Turut tidak membubarkan Dun, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata Dewan Undangan Negeri itu tidak perlu kerana kerajaan Sabah masa ini di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN masih mempunyai tempoh tiga tahun lagi sebelum tempoh mereka tamat.
Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya akan menunggu keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pakatan Harapan (PH) pusat sama ada Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang akan dibubarkan atau sebaliknya dalam minggu ini.
Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri mengekalkan keputusan Majlis Presiden PH sebelum ini, untuk tidak membubarkan Dun meskipun kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen hari ini.
Sementara itu, di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri masih kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dun Kedah selaras dengan pembubaran Parlimen hari ini.
“Parti dah buat keputusan dan jika ada perubahan juga parti akan putuskan,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.
Di SELANGOR, Speaker Dun Ng Suee Lim berkata setakat ini tidak ada perubahan berhubung pendirian kerajaan negeri itu untuk tidak membubarkan Dun Selangor, susulan pengumuman pembubaran Parlimen yang berkuatkuasa hari ini.
“Kita kekal dengan tidak akan melakukan pembubaran Dun seperti apa yang ditekankan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini. Dan kita akan lawan di Parlimen,” katanya.
Di PAHANG, Yang Dipertua Dun Pahang Datuk Seri Ishak Muhamad berkata persidangan Dun akan berlangsung seperti dijadualkan sehingga Dun dimaklumkan oleh Menteri Besar bahawa beliau (Menteri Besar) sudah menghadap dan mendapat perkenan untuk membubarkan Dun.-Bernama

