
IPOH: Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan dana sebanyak RM500,000 bagi penyediaan bekalan kit kesihatan pergigian untuk 20,000 murid tahun satu.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif kit kesihatan menerusi Tuisyen Cikgu Saarani itu akan diberikan bermula bulan hadapan kepada murid dalam kalangan B40 dan M40 bagi memberi kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan gigi.
Beliau berkata pemberian kit kesihatan pergigian itu akan diselaraskan melalui Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).
“Melalui inisiatif ini, lebih 20,000 murid dari 120 buah sekolah akan menerima kit kesihatan gigi berupa ubat gigi, berus gigi, cawan dan tuala yang akan diedarkan oleh JPN Perak dan semua 12 PPD.
“Pemberian kit kesihatan pergigian ini adalah antara inisiatif strategik Tuisyen Cikgu Saarani dalam membantu kesejahteraan dan kesihatan murid yang merupakan satu daripada program flagship Perak Sejahtera 2030 iaitu Perak Sihat Sejahtera,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan kit berkenaan di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah serta Pengarah Pendidikan negeri Mohamad Fauzi Mahson di sini hari ini.
Saarani berkata antara objektif pelaksanaan pemberian kit kesihatan pergigian ini adalah untuk memperkasakan murid sekolah supaya bertanggungjawab terhadap kesihatan mulut serta memperluas aktiviti pencegahan klinikal kepada murid.
“Selain itu, ia juga dapat memberi pendedahan kepada murid berkaitan kepentingan penjagaan gigi pada peringkat awal,“ katanya. -Bernama
