Perak SADC jalin kerjasama dengan syarikat Pakistan ceburi industri gelatin halal, sasar teroka pasaran global

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2024 • 12:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

image is not available
Perak

Perak SADC jalin kerjasama dengan syarikat Pakistan ceburi industri gelatin halal, sasar teroka pasaran global

zakisalleh

18/09/2024 - 12:11

IPOH 18 Sept - Kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memeterai perjanjian usahasama dengan syarikat antarabangsa, Leiner Gelatine Sdn. Bhd. (Leiner Gelatine) dalam industri gelatin halal.

Syarikat dari Pakistan ini merupakan pengeluar produk gelatin halal terkemuka dunia.

Usahasama itu dimeterai antara Leiner Gelatine dengan anak syarikat Perak SADC, Ladang Lekir Sdn. Bhd. (Ladang Lekir) dalam usaha Perak untuk menjadi pemain utama pengeluaran produk halal.

Perak SADC dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua syarikat akan bekerjasama membangunkan industri gelatin halal dengan sasaran meningkatkan peratusan penggunaan dan pasaran gelatin halal di Malaysia dan global.

image is not available
Saarani bersama Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Ahmad Yani (hadapan kanan) dan Khawaja Ahmed pada MIHAS di Kuala Lumpur.

Ini bakal meletakkan Perak khususnya dan Malaysia amnya sebagai pemain utama industri gelatin halal global.

“Kerjasama itu dimeterai pada Pameran Antarabangsa Halal Malaysia 2024 (MIHAS 2024) di MITEC, Kuala Lumpur pada Selasa.

“Ladang Lekir diwakili Pengerusinya, Ahmad Yani Aminuddin manakala Leiner Gelatine diwakili Pengarah Urusannya, Khawaja Ahmed Hassan.

“Majlis pertukaran perjanjian itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Perak SADC,” ujar kenyataan itu.

image is not available
Gelatin turut digunakan dalam produk makanan.
​​​​​

image is not available

Sementara itu, Saarani dalam kenyataan sama memberitahu, pasaran global gelatin mencatatkan nilai US$3.7 bilion (RM15.9 bilion) pada tahun 2023.

Katanya, ia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.6 peratus dari tahun 2023 hingga 2028.

"Daripada jumlah ini, hanya kira-kira tujuh peratus merupakan gelatin halal.

"Dengan potensi besar industri ini di peringkat global, Perak melalui SADC mahu mengorak langkah untuk menjadi pemain utama dalam industri strategik ini.

"Di Malaysia, import gelatin halal mencecah 2,800 tan metrik setahun, bernilai kira-kira RM130 juta dimana 30.8 peratus daripadanya atau RM40 juta datangnya dari Pakistan," ujarnya.

image is not available

Gelatin, sebagai bahan semula jadi yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen haiwan seperti lembu, kerbau, dan ikan, memainkan peranan penting dalam pelbagai industri.

Dalam industri makanan, gelatin berfungsi sebagai agen penstabil dalam produk daging.

Selain itu, agen pemekat dalam makanan bersos, agen pembuih dalam produk susu, dan agen pelembut dalam produk bakeri dan aiskrim. - DagangNews.com