Perak tegas tangani pencerobohan hutan simpan, tanah kerajaan

LocalEnvironment
22 Apr 2025 • 7:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saarani. Foto Bernama

IPOH – Kerajaan negeri mengambil tindakan tegas dalam menangani isu pencerobohan hutan simpan dan tanah kerajaan menerusi pelbagai langkah penguatkuasaan serta pemantauan bersepadu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sejak tahun 2014, sebanyak 538 kes pencerobohan hutan telah direkodkan sehingga tahun 2024.

Menurutnya, sejumlah RM6.4 juta dalam bentuk kompaun dan denda telah dikutip daripada kes-kes berkaitan kesalahan tersebut.

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan tegas dalam menangani aktiviti pencerobohan di kawasan hutan simpan.

“Agensi-agensi penguat kuasa turut bekerjasama membanteras aktiviti eksploitasi sumber asli secara haram, khususnya di Hutan Simpan Kekal Perak,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Saarani berkata, antara agensi terlibat termasuklah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi-agensi penguat kuasa lain.

Menurutnya lagi, dalam konteks pemantauan, PTG, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah meningkatkan penguatkuasaan di lapangan.

Katanya, aktiviti rondaan dan semakan transit, pemantauan udara menggunakan helikopter, teknologi penderiaan jauh serta pesawat udara tanpa pemandu (UAV) dilaksanakan secara berkala di kawasan panas berlakunya pencerobohan tanah kerajaan.

“Pihak Berkuasa Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM540,000 kepada PTG dan PDT di seluruh negeri bagi melancarkan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan.

“Dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan, penguatkuasaan akan terus diperkasa dan ia sedikit sebanyak telah mengurangkan aktiviti pencerobohan hutan simpan serta tanah kerajaan di Perak,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved