
IPOH: Perak mewujudkan Pusat Kecemerlangan Penjagaan Domisiliari Paliatif (EDPCC) yang pertama di negara ini bagi membantu lebih ramai pesakit terlantar menerima perkhidmatan itu di rumah secara percuma.
Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr. Sirajuddin Hashim (gambar) berkata unit yang terletak di Klinik Komuniti Tawas di sini itu, terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan seorang jururawat, diketuai Pakar Perubatan Keluarga Dr. Yong Kui Choon.
“Sejak beroperasi bermula Oktober lepas, kebanyakan pesakit yang mendapatkan perkhidmatan ini adalah kategori pesakit strok, pesakit melibatkan buah pinggang dan pesakit jantung selain kanser iaitu penyakit tidak berjangkit.
“Setakat ini projek inovatif berkenaan hanya beroperasi di daerah Kinta dan kita berharap perkhidmatan ini menjadi model yang boleh dilaksanakan di daerah dan negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan EDPCC di sini hari ini.
Beliau berkata penubuhan pusat itu di daerah Kinta bertujuan menampung peningkatan pesakit yang memerlukan penjagaan di rumah, memandangkan terdapat hanya sebuah klinik kesihatan menyediakan perkhidmatan tersebut.
Katanya, selepas ini perkhidmatan itu akan diperluas ke daerah besar seperti Kuala Kangsar dan Taiping terlebih dahulu.
Sementara itu, Dr. Yong berkata setakat ini pusat tersebut yang beroperasi pada hari bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang telah menerima 60 rujukan dan melakukan sebanyak 130 rawatan di rumah.
“Unit ini adalah berbeza dengan Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD) di klinik kesihatan kerana skop tugas adalah menyeluruh dan lebih holistik kepada semua aspek kehidupan pesakit.
“Selain memantau dan melakukan rawatan susulan kepada pesakit, pusat ini juga memberi bantuan psikologi, menolong golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan bantuan kebajikan serta menyediakan peralatan perubatan yang diperlukan,” katanya. -Bernama

