Perak umum Bantuan Khas Aidilfitri RM700 kepada penjawat awam

6 Apr 2023 • 6:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Kerajaan Perak hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM700 kepada semua kakitangan awam pentadbiran negeri itu sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bantuan khas membabitkan peruntukan berjumlah RM5.63 juta itu akan disalurkan pada 17 April ini, yang akan memanfaatkan 7,892 penjawat awam di negeri ini.

Beliau berkata penerima bantuan khas itu termasuk Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan serta pegawai sambilan harian.

“Seperti tahun lepas, bantuan Khas Aidilfitri akan turut disalurkan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri di Perak dengan kadar RM500 seorang.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,“ katanya pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata seramai 492 pesara kerajaan negeri bagi tempoh Julai 2021 hingga Jun tahun ini menerima insentif melibatkan peruntukan sebanyak RM1.79 juta sebagai tanda penghargaan kerajaan Perak atas khidmat bakti mereka sepanjang berkhidmat.

Beliau berkata melalui insentif berkenaan, sebanyak RM4,400 diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP), Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada pesara yang layak.

“Mereka yang layak termasuk Pesara Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan lebih secara terkumpul dalam Perkhidmatan Awam Negeri Perak dan berusia 50 tahun ke atas.

“Selain itu, insentif turut diberikan kepada Pesara Kumpulan Pelaksana yang telah berkhidmat 20 tahun dan lebih secara terkumpul dalam Perkhidmatan Awam Negeri Perak dan berusia 50 tahun ke atas,“ katanya. -Bernama