Peranan besar pelabuhan POIC di rantau ini

15 Sep 2022 • 3:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PELABUHAN Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) dijangka mampu menjadi salah satu hab pemindahan kargo di rantau ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kedudukan strategik pelabuhan itu di Asia Timur memberikan kelebihan besar dalam aspek pengendalian kargo pukal yang mana pemprosesan boleh dilakukan di sini, sebelum dieksport ke negara maju seperti China, Jepun, Korea, Taiwan dan Hong Kong.

Hajiji berkata tentunya infrastruktur baharu itu akan menjana pertumbuhan sosio ekonomi tempatan termasuk peluang pekerjaan.

Pelabuhan itu mempunyai salah satu kemudahan komprehensif terbaik di rantau ini, dengan kedalaman semula jadi sehingga 20 meter, setanding dengan pelabuhan terbaik di dunia seperti Rotterdam.

“Oleh itu, adalah diharapkan pemain-pemain industri tempatan dapat memanfaatkan kemudahan itu.

“Pelabuhan ini juga akan membantu memastikan kejayaan sektor perindustrian di Sabah yang merupakan antara tiga sektor utama dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang merupakan fokus utama pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika melancarkan Pelabuhan POIC Lahad Datu dan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC di Lahad Datu pada 5 September.

Sektor pelabuhan adalah salah satu daripada pemangkin utama dan tulang belakang kepada pembangunan negeri, khususnya melibatkan penghantaran barang atau kargo.

Ketua Menteri itu berkata, kemudahan-kemudahan infrastruktur yang baik dan berkualiti akan dapat menyokong setiap usaha pembangunan ekonomi yang akan dilaksanakan di Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa berusaha untuk memacu pembangunan ke tahap yang lebih tinggi.

“Justeru kita yakin dengan kerjasama yang jitu dan erat di antara Kerajaan Negeri sokongan dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC) negeri,” kata Hajiji.

POIC Lahad Datu ditubuhkan pada 2005, dengan objektif untuk menerajui pembangunan dalam sektor industri pemprosesan hiliran minyak sawit untuk menambah nilai kepada 1.4 juta hektar ladang kelapa sawit di Sabah, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Hajiji berkata, POIC juga membangunkan kelompok-kelompok industri tambahan selain industri berasaskan kelapa sawit sebagai respon kepada kehendak dan minat para pelabur terhadap prospek yang semakin meningkat seperti sektor pelabuhan dan logistik, biojisim (biomass), kilang penapisan bio, minyak dan gas serta perusahaan kecil dan sederhana.

Penyiapan pelabuhan POIC Lahad Datu pada 2018 menjadikannya sebagai hab logistik perkapalan global dengan memanfaatkan laluan perkapalan utama Selat Lombok-Makassar yang melalui Lahad Datu.

“Saya yakin dan percaya dengan kekuatan dan peluang yang ada, Pelabuhan POIC Lahad Datu boleh berkembang dengan lebih maju dan mempunyai daya saing yang tinggi pada masa hadapan.

“Secara umumnya, saya pasti Pelabuhan POIC tidak mempunyai kekangan besar yang boleh menghalang pertumbuhannya. Kedudukannya di lokasi strategik di pertengahan laluan utama kapal dagang adalah faktor utama yang dapat menarik lebih banyak syarikat perkapalan untuk menggunakan pelabuhan ini,” katanya.

Hajiji optimis pelabuhan POIC Lahad Datu akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan logistik dan sokongan kepada operasi eksport dan import.

Beliau berkata POIC Sabah Sdn.Bhd melalui anak syarikatnya POIC Logistics Sdn. Bhd bertanggungjawab penuh dalam mengendalikan operasi pelabuhan yang terdapat di POIC Lahad Datu, yang menyediakan kemudahan pelabuhan paling komprehensif, canggih dan serba lengkap di perairan Selat Lombok-Makassar. Ini terdiri daripada Terminal Kontena, Terminal Pukal Kering, Terminal Pukal Cecair dan Dermaga Pendaratan Baj/Tongkang.

Hajiji juga berkata Kerajaan Negeri menyokong dan bersetuju pada dasarnya beberapa cadangan dan inisiatif baharu yang boleh memacu perkembangan serta meningkatkan keupayaan POIC dalam merancakkan lagi aktiviti perindustrian di Wilayah Pantai Timur Sabah.

Beliau berkata, lima inisiatif itu ialah pewujudan Zon Bebas di Taman Perindustrian Lahad Datu, mewujudkan Pusat Pengumpulan Satelit Biojisim, Lapangan Terbang Antarabangsa di Lahad Datu, menubuhkan Akademi Maritim dan Pembinaan Pusat Rawatan Kesihatan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.