Peranan CeIO pastikan inisiatif dilaksanakan penuh integriti, beri nilai kepada rakyat - Azam Baki

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 1:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peranan CeIO pastikan inisiatif dilaksanakan penuh integriti, beri nilai kepada rakyat - Azam Baki
Azam semasa Majlis Konvokesyen CeIO di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di Kajang pada Selasa. Foto: SPRM

KUALA LUMPUR – Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) memainkan peranan bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan integriti, dipantau secara sistematik dan memberi nilai kepada rakyat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ini sekali gus memperkukuhkan kepercayaan terhadap sistem pentadbiran negara.

Menurutnya, cabaran perkhidmatan awam bukan lagi terletak pada kekurangandasar atau perancangan, sebaliknya pada keupayaan memastikan setiap keputusan dilaksanakan dengan berkesan dan impak nyatan kepada rakyat.

"Dalam banyak keadaan, inisiatif telah dilancarkan dan pelan telah dirangka, namun pelaksanaannya tidak disempurnakan sepenuhnya.

"Jurang antara keputusan dan pelaksanaan ini perlu ditangani secara serius sekiranya kita ingin membina sistem pentadbiran yang benar-benar berfungsi, responsif dan dipercayai.

"Kelemahan dalam pelaksanaan bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar, malah boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam," katanya dalam ucapan di Majlis Konvokesyen CeIO di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini pada Selasa.

Tambahnya, dalam mendepani realiti ini, CeIO perlu tampil sebagai penggerak utama yang membantu menutup jurang antara keputusan dan pelaksanaan.

Dalam pada itu, Azam berkata, seramai 3,333 pegawai telah ditauliahkan sebagai CeIO sejak diperkenalkan SPRM pada 2010.

Jelasnya, ia membuktikan kesinambungan dan kepentingan program ini dalam membangunkan kapasiti pegawai integriti secara sistematik dan berstruktur.

“Program CelO ini dirangka secara komprehensif bagi memastikan para peserta bukan sahaja memahami aspek perundangan dan pematuhan malah berkeupayaan melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, pengurusan integriti serta memberi khidmat nasihat tadbir urus secara efektif.

“Hasilnya, graduan CelO mampu menyumbang kepada pengukuhan kawalan dalaman serta pembudayaan nilai integriti yang lebih menyeluruh dalam organisasi,” ujarnya.

Pada majlis itu, Azam menyampaikan pentauliahan kepada 486 pegawai daripada sektor awam, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan sektor swasta yang telah mengikuti 10 siri program CeIO sepanjang 2025.

"Penting untuk kita memahami bahawa peranan CeIO tidak dapat digerakkan secara optimum tanpa kepercayaan dan sokongan penuh daripada kepimpinan organisasi.

"Saya menyeru agar ketua jabatan memberikan ruang, mandat serta kepercayaan kepada CeIO untuk berfungsi secara profesional sebagai penasihat serta penggerak integriti," ujarnya.