Peranan universiti lebih luas daripada sekadar menimba ilmu – Raja Perlis

LocalOpinion
26 Nov 2025 • 1:35 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

GEORGE TOWN – Institusi pengajian tinggi kini dilihat sebagai ruang membentuk kefahaman, pemikiran dan sahsiah yang holistik, bukan sekadar tempat menuntut ilmu, titah Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail.

Baginda menegaskan bahawa universiti perlu terus diperkukuh sebagai pusat kecemerlangan agar kekal dihormati dalam dan luar negara, selain berfungsi sebagai institusi yang memartabatkan ilmu serta nilai etika.

Menurut baginda, peranan universiti bukan sahaja menyampaikan pengetahuan, tetapi turut membantu melahirkan pelajar yang berfikiran tajam, berprinsip, dan memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Ketika masyarakat berdepan tekanan ekonomi, perubahan sosial dan cabaran global yang semakin mencabar, golongan berpendidikan diharap mampu tampil dengan kebijaksanaan dan kepakaran. Graduan harus menjadi pemikir global dan penyumbang manfaat kepada masyarakat,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa pencapaian akademik bukanlah penamat perjalanan, sebaliknya satu permulaan yang menuntut graduan menggunakan ilmu dengan rasa tanggungjawab, keprihatinan dan kerja keras demi kepentingan masyarakat.

Titah itu disampaikan ketika Tuanku Syed Sirajuddin berangkat merasmikan sesi pertama Istiadat Konvokesyen ke-63 USM di Dewan Tunku Syed Putra, di sini, hari ini. Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Kehormat Perancangan Bandar dan Wilayah kepada Penasihat Hartanah Petronas, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.