Perancis hampiri Euro 2024

Football
8 Sep 2023 • 10:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Thuram (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Ireland bersama rakan sepasukan. - Foto AFP

PERANCIS semakin hampir untuk menyambar slot ke kejohanan Euro 2024 selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Ireland pada awal pagi Jumaat.

Aurelien Tchouameni dan Marcus Thuram masing-masing menjaringkan satu gol untuk mengukuhkan kedudukan teratas Kumpulan B dalam aksi di Parc des Princes.

Finalis Piala Dunia tahun lalu itu sudah mengumpul 15 mata dan masih belum melepaskan sebarang gol selepas lima perlawanan dalam peringkat kumpulan.

"Ia adalah satu langkah penting. Kami telah menikmati kempen yang sempurna setakat ini tetapi kami tidak akan berpuas hati dengan kejayaan kami," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, skuad Belanda kendalian Ronald Koeman menewaskan Greece 3-0 di Eindhoven dengan semua gol dijaringkan pada separuh masa pertama.

Marten de Roon meledak gol pembukaan pada minit ke-17, pemain Liverpool, Cody Gakpo menjadikan kedudukan 2-0 dan Wout Weghorst menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-39.

Ireland, dengan hanya tiga mata selepas empat perlawanan perlu menewaskan Belanda di tempat sendiri dalam perlawanan seterusnya pada Isnin untuk mengekalkan peluang mara ke pusingan akhir Euro 2024.

"Kami akan menggunakan peluang beraksi di laman sendiri dengan sorakan daripada penyokong kami.

"Kami mempunyai banyak perkara yang perlu difikirkan selepas perlawanan menentang Perancis ini," kata pengurus Ireland, Stephen Kenny.

View Original Article