PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah penjimatan termasuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka melibatkan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan kunjungan ke luar negara oleh anggota Jemaah Menteri dan jabatan kerajaan dihadkan kecuali bagi acara yang wajib dihadiri.
Menurutnya, keputusan itu bagi memastikan perbelanjaan secara lebih cermat dan sederhana dapat dilakukan ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik berkenaan.
"Ada yang bertanya kalau keadaan terkawal, harga dan barang keperluan seperti minyak dan gas itu masih boleh disediakan, apa keperluan kita (untuk) waspada dan berjimat, saya kata ini langkah waras bagi kita supaya jangan nanti terjebak dalam keadaan lebih parah.
"Jadi sebaiknya ambil sikap sederhana, lebih bertanggungjawab," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra pada Rabu.
Menurutnya, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf bagi menangani isu penyeludupan, terutama membabitkan diesel dan petrol.
Menurutnya, jawatankuasa itu bagi memastikan bekalan diesel lebih terkawal di Semenanjung dan tidak naik di Sabah serta Sarawak.
"Ini memungkinkan penyeludupan besar-besaran. Jadi, saya tugaskan TPM bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap kepada pihak yang mengambil kesempatan menyeludup," ujar Anwar.
Pada masa sama, beliau berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah akan mempengerusikan Jawatankuasa Khas mengkaji impak ekonomi bersama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta menteri Kabinet yang lain setiap hari supaya maklumat dapat disalurkan kepada pimpinan kerajaan.
"Jadi tentunya kita akan pantau perkembangan di Asia Barat dan apa kesudahannya. Kita mendoakan hadrat ALLAH SWT untuk melindungi mereka dan agar keamanan dapat dicapai. Tapi bagi kita, harus terus waspada," tegas Anwar.

