PUTRAJAYA - Kerajaan akan melaksanakan ikhtiar maksimum bagi mengekalkan harga subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter meskipun ketegangan di Asia Barat memberi kesan terhadap pasaran minyak dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga minyak dilapor semakin meningkat berikutan peperangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang turut melibatkan beberapa negara Teluk.
“Harga Brent satu barel sudah naik AS$100. Kita masih bertahan dengan RM1.99 untuk Budi 95 dan akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini pada Isnin.
Pada 28 Februari lalu, AS dan Israel dalam operasi bersama melancarkan serangan udara besar- besaran ke atas Iran.
Sebagai serangan balas, Iran melancarkan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Asia Barat seperti di Iraq, Syria dan Qatar serta infrastruktur di Israel.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia sememangnya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan ganas terutama percubaan menakluk dan menganggu-gugat negara lain.
Beliau turut menzahirkan simpati terhadap negara di Asia Barat yang terkesan dengan krisis ketegangan membabitkan Iran, AS dan Israel ketika ini.
“Saya telah hubungi Menteri Luar Iran (Seyed Abbas Araghchi) meminta sedaya upaya kawal (situasi) supaya hubungan baik di antara negara-negara Islam itu terus mantap,” katanya.
Beliau turut menasihati rakyat supaya merancang perbelanjaan dan mengamalkan sikap berjimat cermat sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan ketidaktentuan ekonomi global.
