
NARATHIWAT (THAILAND): Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) mendakwa, perang gerila di Selatan Thailand terus berlanjutan selagi Kerajaan Thailand tidak memberi keadilan kepada penduduk Melayu Islam khususnya di Wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala.
Presidennya, Kasturi Mahkota berkata, ia dapat dilihat apabila kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Dekri Darurat serta Undang-Undang Tentera untuk terus memberi tekanan kepada kumpulan pejuang.
“Pihak pejuang pun manusia dan boleh membuat pertimbangan untuk gencatan senjata. Tetapi jika kerajaan terus memberi tekanan, maka kumpulan pejuang bertindak balas kerana beranggapan ketidakadilan masih berlaku.
“Kadangkala tindakan (serangan) meningkat dan kadangkala reda. Namun ia tidak akan berhenti selagi pihak berkuasa masih berkeras. Lagi ditekan lagi banyak tindakan dilakukan pihak pejuang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kasturi berkata, Kerajaan Thailand perlu menunjukkan kesediaan untuk menghentikan konflik dengan menamatkan beberapa undang-undang yang menekan penduduk di ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Mengulas dakwaan mengatakan ramai penduduk tiga wilayah itu ditahan pihak berkuasa dalam beberapa operasi keselamatan kebelakangan ini, Kasturi mengingatkan bahawa individu terbabit berhak mendapat layanan mengikut undang-undang antarabangsa.
Katanya, PULO melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap keselamatan, kebajikan dan hak-hak mereka yang ditahan dan setiap individu itu berhak mendapat layanan berperikemanusiaan, proses perundangan adil, akses kepada peguam, serta peluang untuk menghubungi keluarga masing-masing.
“PULO menyeru semua pihak supaya menghormati hak asasi manusia dan memastikan setiap tindakan keselamatan dilaksanakan secara telus, mengikut undang-undang, dan tidak menjejaskan usaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan di Patani.
“PULO percaya bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui keadilan, penghormatan terhadap maruah insan dan penyelesaian konflik secara aman,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi mendesak supaya proses dialog damai bagi mencapai keamanan tiga wilayah itu, yang mana Malaysia menjadi fasilitator mesti melibatkan semua kumpulan pejuang, bukannya terhad kepada satu pergerakan sahaja.
“Perbincangan menyelesaikan konflik bermula sejak 2013 melibatkan hanya satu kumpulan pejuang. Sehingga sekarang belum mencapai apa-apa keputusan yang boleh menghentikan pergolakan,” katanya. – UTUSAN
The post Perang gerila berterusan selagi ada ketidakadilan – PULO appeared first on Utusan Malaysia.






