Perang Iran-AS Gugat Ekonomi, Rantaian Bekalan 4.0 Jadi Senjata Baharu Perniagaan Malaysia

LocalBusiness & Finance
23 Apr 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perang Iran-AS Gugat Ekonomi, Rantaian Bekalan 4.0 Jadi Senjata Baharu Perniagaan Malaysia Image from: Perang Iran-AS Gugat Ekonomi, Rantaian Bekalan 4.0 Jadi Senjata Baharu Perniagaan Malaysia johardy23/04/2026 - 08:00 Oleh Muhammad Hafiz Suhaimi suratpembaca@dagangnews.com

Kemajuan arus teknologi digital ketika ini telah mengubah landskap rantaian bekalan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

 

Dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi, menjimatkan kos serta mempercepatkan penghantaran kepada pelanggan, syarikat daripada pelbagai sektor telah mengaplikasikan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan analitik data.

 

Namun, ketika transformasi ini sedang rancak berlaku, konflik geopolitik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS) menambah tekanan baharu kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

 

Jika ketegangan berpanjangan, gangguan terhadap laluan perdagangan, peningkatan harga minyak mentah, kos penghantaran dan ketidaktentuan pasaran boleh memberi kesan langsung kepada operasi perniagaan tempatan.

 

Perkembangan e-dagang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi faktor utama kepada transformasi yang berlaku. Permintaan pengguna terhadap perkhidmatan logistik yang lebih pantas, tepat dan telus meningkat seiring pertumbuhan platform jualan dalam talian.

 

Oleh hal yang demikian, kebanyakan organisasi kini beralih kepada penggunaan teknologi dalam sistem pengurusan rantaian bekalan bagi memastikan operasi terus berdaya saing.

 

Gudang pintar dan penjejakan masa nyata

Pengenalan sistem penjejakan masa nyata merupakan inovasi yang kini mendapat perhatian.

 

Menerusi teknologi ini, penghantaran atau pergerakan barangan dari gudang sehingga ke destinasi akhir dapat dipantau oleh syarikat dan pelanggan. Ketelusan sistem ini secara tidak langsung menambah keyakinan pengguna di samping membantu syarikat menangani risiko kehilangan, kelewatan dan kesilapan penghantaran.

 

Dalam suasana konflik global, keupayaan menjejak pergerakan stok dan penghantaran secara langsung menjadi lebih penting. Sebarang gangguan di pelabuhan utama, kelewatan kapal dagang atau perubahan laluan penghantaran boleh dikenal pasti lebih awal, sekali gus membolehkan syarikat mengambil tindakan segera.

 

Di samping itu, konsep gudang pintar juga merupakan teknologi yang semakin meluas diaplikasikan dalam rantaian bekalan.

 

Pengenalan konsep ini membantu syarikat melaksanakan sistem penyusunan automatik seperti penggunaan robot untuk proses pengambilan barangan, automasi pengurusan inventori serta peningkatan produktiviti secara berterusan, selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

 

Dalam jangka panjang, konsep ini berpotensi menjimatkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan keseluruhan organisasi, terutama ketika syarikat berdepan tekanan kos akibat kenaikan harga bahan mentah dan tenaga susulan konflik antarabangsa.

 

Kos pelaksanaan yang menjadi kekangan

Namun begitu, terdapat pelbagai cabaran dalam mempraktikkan teknologi rantaian bekalan. Antaranya ialah kos pelaburan awal yang tinggi, sekali gus menjadi halangan terutama kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

 

Tambahan lagi, kebanyakan syarikat masih kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi serta berhadapan dengan risiko ancaman keselamatan siber.

 

Jika perang Iran-AS berlarutan, cabaran ini boleh menjadi lebih besar. Nilai ringgit yang tertekan, inflasi import dan peningkatan kos logistik berpotensi menjejaskan margin keuntungan syarikat, khususnya perniagaan yang bergantung kepada bahan mentah atau komponen dari luar negara.

 

Oleh sebab itu, setiap organisasi seharusnya bersedia mengubah landskap sedia ada menerusi penggunaan sistem digital baharu yang sememangnya memerlukan masa, latihan dan perubahan budaya kerja.

 

Kepentingan kerjasama dan masa depan industri

Pakar industri berpandangan bahawa kolaborasi antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta amat penting agar transformasi digital rantaian bekalan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

 

Antara langkah kritikal ialah memperkukuh kemahiran digital tenaga kerja, memperluas insentif automasi dan memberi sokongan berterusan kepada PKS.

 

Selain itu, Malaysia juga perlu memperkukuh daya tahan rantaian bekalan negara melalui kepelbagaian sumber import, pembangunan vendor tempatan serta peningkatan keupayaan pelabuhan, gudang dan infrastruktur logistik domestik. Langkah ini penting supaya ekonomi negara tidak terlalu terdedah kepada kejutan luaran.

 

Secara tuntasnya, teknologi rantaian bekalan merupakan inisiatif penting dalam meningkatkan daya saing perniagaan di Malaysia.

 

Dalam era ketidaktentuan geopolitik dan ancaman perang berpanjangan, kesiapsiagaan organisasi menghadapi cabaran kos, kemahiran dan keselamatan secara strategik menjadi penyumbang utama kepada kejayaan transformasi ini. - DagangNews.com

 

Muhammad Hafiz bin Suhaimi adalah Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka
Parafrasa Terkini standard