Perang Tarif AS-China: Malaysia Jadi Tumpuan Baru Gergasi Automotif China?

LocalBusiness & Finance
18 Apr 2025 • 12:15 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Ketegangan antara Amerika Syarikat dan China dijangka akan memberi kesan besar terhadap arah aliran eksport pengeluar automotif China. Menurut laporan daripada CIMB Securities, Malaysia berpotensi muncul sebagai antara destinasi utama dalam strategi pelarian tarif ini.

Malaysia Jadi Tumpuan, Harga Kenderaan China Dijangka Makin Kompetitif

image is not available

Disebabkan kelebihan tarif yang ditawarkan di rantau ASEAN, pengeluar dan pembekal alat ganti dari China dijangka menumpukan perhatian ke pasaran Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Ini akan membawa kepada lambakan kenderaan elektrik (EV) dan alat ganti dari China dengan harga yang lebih menarik, dalam usaha mereka mengurangkan lebihan kapasiti.

Manfaat Jangka Pendek

Kehadiran lebih banyak jenama China akan memberikan manfaat segera kepada pengguna Malaysia, terutamanya dalam akses awal kepada teknologi EV terkini pada harga yang lebih mampu milik. Namun, CIMB Securities memberi amaran bahawa ini juga akan meningkatkan tekanan kepada pengeluar sedia ada, khususnya jenama Jepun, Korea Selatan dan Eropah, yang kini semakin merasakan kehangatan persaingan.

Jenama seperti BYD dan Chery sudah pun bertapak dengan kukuh dalam pasaran Malaysia melalui gabungan teknologi canggih, kelebihan skala ekonomi dan strategi harga agresif. Tambahan pula, banyak syarikat China ini mendapat sokongan kerajaan bagi memudahkan kemasukan mereka ke negara ini.

Perodua Masih Miliki Kelebihan

image is not available

Walaupun persaingan semakin sengit, CIMB Securities yakin jenama nasional seperti Perodua masih mampu bertahan, malah berpeluang menambah bahagian pasaran. Ini kerana Perodua memiliki kelebihan menerusi penggunaan komponen tempatan yang tinggi dan harga yang mampu milik, yang membantu mengurangkan impak turun naik kos import dan perubahan nilai mata wang, satu faktor utama di saat rakyat semakin berhati-hati berbelanja.

Risiko Tidak Langsung Kepada Industri

image is not available

Walaupun sektor automotif Malaysia tidak terdedah secara langsung kepada dasar tarif balas AS di bawah pentadbiran Trump (kerana jumlah eksport yang kecil), CIMB Securities menjangkakan beberapa kesan tidak langsung mungkin berlaku.

Antara kesan yang dijangkakan adalah peningkatan inflasi import dan kos operasi. Selain itu, permintaan pengguna mungkin menurun akibat nilai ringgit lemah.

Kesan Kepada Komponen dan Kenderaan Import

Sekiranya perang tarif ini berlanjutan, harga untuk komponen, kit pemasangan (CKD) dan kenderaan import sepenuhnya (CBU) dijangka meningkat. Ini mungkin memaksa pengeluar sama ada menyerap kos atau memindahkannya kepada pengguna akhir.

Dalam masa yang sama, sentimen pengguna yang bergantung pada pembiayaan kredit juga dijangka menjadi lebih berhati-hati untuk membuat tempahan kenderaan baharu.

Pandangan CIMB: ‘Neutral’ Buat Masa Ini

Dengan semua faktor ini diambil kira, CIMB Securities mengekalkan unjuran ‘Neutral’ terhadap sektor automotif negara. Ini kerana prospek pertumbuhan dijangka sederhana dalam suasana persaingan yang semakin sengit.

Sumber: NSTP