Di kala komponen memori dan cip pemprosesan semakin mahal dan sukar untuk dibeli kerana pembangunan pesat teknologi AI, perang di Timur Tengah pula dilihat telah menyebabkan pemprosesan petroleum terpaksa dihentikan.
Salah satu kesan sampingan penutupan lokasi-lokasi pemprosesan petroleum ini tidak terhad kepada bekalan petrol global, tetapi juga bahan-bahan mentah sampingan yang diperlukan untuk menghasilkan pelbagai jenis komponen-komponen elektronik yang digunakan oleh banyak kelas peranti.
Yang dilihat paling terkesan setakat ini nampaknya ialah pengeluaran resin polyphenylene ether (PPE) dengan ketulenan tinggi. Bahan ini merupakan salah satu komponen kritikal untuk menghasilkan bahan permukaan penebat papan litar.
SABIC ialah syarikat yang bertanggungjawab untuk menghasilkan 70 peratus daripada bekalan bahan PPE ini, dan mereka beroperasi didalam kompleks pemprosesan petroleum Jubail yang telah dibom oleh tentera Iran baru-baru ini.

Insiden tersebut telah menyebabkan SABIC tida.k lagi boleh meneruskan pengeluaran PPE, dan ini menyebabkan bekalan bahan tersebut semakin merosot tanpa sebarang output baru untuk menggantikannya. SABIC juga dilaporkan bahawa mereka sedang bertemu dan berbincang dengan pelanggan-pelanggan mereka tentang kenaikan harga untuk bahan tersebut.
Sebelum insiden di kompleks pemprosesan Jubail berlaku, bahan PPE ini sudahpun memperlihatkan kenaikan harga kerana pengeluaran papan induk yang semakin meningkat. Menurut penganalisa Goldman Sachs, harga PPE memperlihatkan peningkatan 40 peratus dari bulan Mac ke April selepas serangan tersebut berlaku.
Walaupun begitu, kenaikan harga ini nampaknya diterima oleh sejumlah pelanggan SABIC seperti AMD, Daeduck Electronics, Samsung dan SK Hynix kerana mereka percaya bahawa dalam masa terdekat dan pertengahan ini, permintaan untuknya akan melangkaui kebolehan SABIC untuk menghasilkan bahan tersebut.
Jangkaannya ialah bahawa sepanjang tahun ini, harga papan litar dan papan induk juga akan semakin meningkat dan akan memberi kesan kepada banyak sektor teknologi, dari AI hinggalah ke pengguna.
