
Kota Kinabalu: Pendidik dan pelajar di beberapa Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) serta Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah (ITQAS) kini memanfaatkan penggunaan peranti teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital menerusi Smartboard AI yang diagihkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) baru-baru ini.
Jheains memperoleh 35 unit Smartboard AI bagi memperkasa pendidikan agama dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi berilmu, beriman dan celik teknologi.
Menerusi jumlah itu sebanyak 30 unit Smartboard AI diagihkan kepada enam SMAN di seluruh Sabah dengan setiap sekolah menerima lima unit manakala empat unit diperuntukkan kepada ITQAS dan satu unit diserahkan kepada Bahagian Pendidikan Jheains.
Sebuah peranti Flip Touch turut disumbangkan bagi menyokong fungsi pengurusan dan penyampaian maklumat jabatan berkenaan.
Inisiatif itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara Yayasan Bumiputra Sabah (YBS) dan syarikat teknologi milik Bumiputra, Arvia Solutions Sdn Bhd yang membekalkan Smartboard AI kepada Jheains.
Majlis penyerahan disempurnakan dan disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim di ITQAS baru-baru ini.
Pada majlis sama satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Arvia dan YBS Unifinder Sdn Bhd serta YBS Solutions Group Berhad bagi memperluas kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa hadapan.
YBS yang dipertanggungjawab memperkasa modal insan Bumiputera di Sabah memainkan peranan penting dalam merealisasikan inisiatif berkenaan dengan kerjasama strategik itu bukan sekadar penyediaan peralatan malah merupakan pelaburan jangka panjang terhadap generasi masa depan negeri.
Mohd Hanafiah berkata pendidik perlu menyahut arus pendigitalan dalam pendidikan selaras dengan saranan Menteri Pendidikan agar guru mengadaptasi pendekatan digital dalam PdP.
Beliau berkata Smartboard AI yang dilengkapi kecerdasan buatan terbina dalam, ciri papan pintar interaktif serta antara muka mesra pengguna dilihat sebagai penyelesaian praktikal bagi menyokong peralihan itu.
Katanya peranti berkenaan membolehkan guru mengaplikasikan kaedah pengajaran digital dengan lebih mudah tanpa menambah beban tugas.
Selain menyokong pembelajaran bahasa Arab dan pengajian Islam beliau berkata teknologi itu turut meningkatkan keberkesanan PdP merentas disiplin termasuk subjek STEM seperti sains serta Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).
“Pelajar boleh berinteraksi dengan teks Arab pada skrin 4K dan membina model 3D secara kolaboratif dalam kelas,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YBS Datuk Jasmih Slamat berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan yayasan berkenaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan Bumiputera di Sabah.
Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai pelaburan jangka panjang terhadap generasi masa depan negeri melangkaui sekadar penyediaan peralatan teknologi.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Arvia Solutions Nurul Ain Mohamad Khdri berkata kerjasama tersebut merupakan satu lagi langkah dalam usaha syarikat memperluas kehadiran di Sabah selain menyokong agenda nasional mengintegrasikan teknologi tempatan dalam sistem pendidikan.
Beliau berkata syarikat yang menerima pengiktirafan seperti SME 100, Brand Laureate, Women Entrepreneur Award serta status digital Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yakin kerjasama dengan YBS dan Jheains akan membuka lebih banyak peluang bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara.






