Peras RM1.25 Juta: 3 Pegawai Kanan Polis Ditahan Bantu Siasatan

4 May 2024 • 8:02 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Razarudin Husain - gambar fail

KUALA LUMPUR - Tiga pegawai kanan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis melibatkan kes pemerasan berjumlah RM1.25 juta.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tiga pegawai itu, masing-masing berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor berusia antara 38 tahun hingga 50 tahun ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini.

"Satu kertas siasatan telah dibuka dan berdasarkan siasatan awal, semua suspek menafikan terbabit dalam kes berkenaan," katanya semalam.

Beliau berkata laporan polis itu dibuat pada jam 9.20 malam kelmarin, namun enggan mengulas lanjut.

Razarudin berkata permohonan reman terhadap semua suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat hari ini.

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Razarudin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Polis memberi jaminan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan sedang giat mengumpul maklumat risikan serta bukti secukupnya bagi memastikan kesemua yang terbabit dibawa ke muka pengadilan," katanya. - BERNAMA