Peraturan pencampuran kargo sawit perlu diperjelas

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 8:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peraturan pencampuran kargo sawit perlu diperjelas

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu memperjelas peraturan pengisytiharan kargo minyak sawit dari negara berlainan yang dicampurkan dalam tangki kapal sama.

Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, penjelasan itu dapat membantu pengeksport, pedagang dan syarikat perkapalan memahami keperluan dokumentasi serta pelesenan dalam urusan perdagangan minyak sawit antarabangsa.

Katanya, antara perkara yang perlu diperjelas ialah kaedah menentukan negara asal, gred dan kuantiti produk yang perlu dinyatakan dalam dokumen eksport.

“Apabila minyak sawit Malaysia dicampurkan dengan produk dari negara lain dalam tangki kapal yang sama, negara asal manakah yang perlu dinyatakan dalam dokumen eksport?

“Adakah kedua-dua negara perlu dikenal pasti atau keseluruhan kargo boleh diisytiharkan di bawah satu negara? Persoalan ini memerlukan jawapan yang jelas,” katanya dalam kenyataan.

Jeyenderan berkata, terdapat dua kaedah pencampuran kargo, iaitu ‘commingling’ yang melibatkan produk daripada jenis dan gred sama, manakala ‘blending’ membabitkan produk daripada jenis atau gred berbeza.

Katanya, MPOB boleh memperjelas sama ada kedua-dua kaedah itu dibenarkan bagi produk dari negara berlainan dan sama ada lesen atau kelulusan khusus diperlukan.

Beliau berkata, pencampuran secara fizikal tidak semestinya mengubah status negara asal sesuatu produk kerana penentuannya bergantung kepada peraturan asal barang dan keperluan perdagangan yang terpakai.

Sehubungan itu, beliau menyarankan syarikat yang mengendalikan kargo dari pelbagai sumber menyimpan rekod lengkap mengenai kuantiti, gred dan negara asal setiap produk, termasuk butiran proses pencampuran.

Katanya, rekod itu dapat membantu pihak berkuasa mengesahkan komposisi kargo, selain memastikan pengisytiharan eksport dibuat dengan tepat.

Jeyenderan berkata, penjelasan rasmi MPOB juga dapat membantu menyeragamkan pemahaman pemain industri mengenai peraturan berkaitan, sekali gus melancarkan urusan perdagangan.

“Permintaan untuk mendapatkan penjelasan bukan bertujuan menyekat perdagangan yang sah. Sebaliknya, ia bagi memastikan syarikat memahami peraturan dan setiap kargo diisytiharkan dengan sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan dokumentasi yang tepat dan telus dalam mengekalkan keyakinan pembeli antarabangsa terhadap Malaysia sebagai antara pengeksport utama minyak sawit dunia.-UTUSAN

The post Peraturan pencampuran kargo sawit perlu diperjelas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved