
SEMUA orang memahami keperluan kepada kecerdasan buatan (AI) pada masa kini, namun pada masa sama khuatir disalah gunakan pihak tertentu.
Rumah Putih di Amerika Syarikat turut berusaha mencari titik keseimbangan di antara memperkukuh keselamatan teknologi AI bagi memastikan inovasi dalam sektor itu tidak terhalang oleh dasar yang terlalu ketat.
Pendekatan tersebut dilihat penting ketika AI berkembang pantas sekali gus menawarkan pelbagai manfaat kepada ekonomi, namun dalam masa sama membawa risiko baharu terhadap keselamatan siber serta keselamatan negara.
Memetik portal Cyber Security Dive, Pengarah Siber Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Sean Cairncross memberitahu dalam ucapannya pada persidangan keselamatan siber Black Hat USA 2026 di Las Vegas, pentadbiran Presiden Donald Trump komited membangunkan ekosistem AI yang selamat dan bertanggungjawab tanpa mengekang daya saing industri.
Katanya, kerajaan menyedari kebimbangan yang semakin meningkat terhadap aspek keselamatan AI, namun percaya kerjasama erat dengan sektor swasta merupakan pendekatan terbaik untuk menangani cabaran itu.
“Kepantasan evolusi AI menyebabkan sebarang peraturan yang terlalu khusus berisiko menjadi lapuk dalam tempoh yang sangat singkat.
“Jika peraturan dibuat terlalu terperinci, ia mungkin tidak lagi relevan dalam tempoh 48 jam selepas dikuatkuasakan.
“Apa yang diperlukan ialah rangka kerja yang fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, selain menggalakkan perkongsian maklumat secara berterusan antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya.
Beliau menjelaskan pendekatan sedemikian dapat memastikan pembangunan AI terus memberi manfaat kepada masyarakat di samping mengurangkan risiko penyalahgunaan teknologi berkenaan.
Perihal keselamatan AI menjadi semakin mendapat perhatian berikutan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar keselamatan siber.
Antaranya ialah kejadian pelanggaran keselamatan yang dilaporkan melibatkan platform pembangunan AI, Hugging Face, pada Julai lalu.

Insiden itu menarik perhatian banyak pihak dan meningkatkan kebimbangan bahawa sistem AI yang semakin canggih berpotensi dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sekiranya kawalan keselamatan tidak diperkasa.
Sebagai antara peneraju dunia dalam pembangunan AI, AS turut berdepan cabaran dalam memastikan teknologi tersebut tidak disalahgunakan oleh penjenayah siber atau pihak yang boleh mengancam keselamatan negara.
Tambah Cairncross, penjenayah siber kini semakin cekap memanfaatkan AI bagi mengenal pasti kelemahan sistem serta membangunkan kaedah serangan pada kadar yang jauh lebih pantas berbanding usaha pertahanan untuk membaiki kelemahan tersebut.
“Persaingan geopolitik dalam pembangunan AI turut semakin sengit khususnya melibatkan AS dan China kerana kedua-dua negara dilihat berlumba-lumba membangunkan teknologi AI yang lebih maju.
“Siapa yang berjaya bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, inovasi industri dan pengaruh strategik pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan model AI bersumber terbuka, Cairncross berkata, pentadbiran AS sedang meneliti usaha untuk memperkukuh ekosistem sumber terbuka negara agar mampu bersaing di peringkat global.
“Kami sedang mengkaji bagaimana untuk membangunkan model AI sumber terbuka AS yang lebih kompetitif supaya menjadi pilihan.
“Sektor swasta memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan merangka pendekatan kawal selia yang lebih praktikal dan seimbang berbanding dasar terdahulu yang disifatkan lebih ketat,” katanya.
Kerajaan AS turut giat memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memastikan pelaku yang menyasarkan infrastruktur kritikal atau mengancam keselamatan negara dikenakan tindakan yang setimpal sekali gus memperkukuh ketahanan siber dalam era kecerdasan buatan yang semakin kompleks.
The post ‘Peraturan terlampau’ AI hanya berisiko jadi lapuk appeared first on Kosmo Digital.
