
PUTRAJAYA: Kadar perbandaran di Malaysia telah meningkat tiga kali ganda daripada 28.4 peratus pada 1970 kepada 75.1 peratus pada 2020, yang dipengaruhi oleh peningkatan penduduk semula jadi, migrasi dan persempadanan semula.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata dalam tempoh lima dekad, penduduk bandar berkembang 21.4 juta daripada 3.0 juta pada 1970 kepada 24.4 juta pada 2020 manakala penduduk luar bandar pula mencatatkan sedikit peningkatan kepada 8.1 juta orang pada 2020 berbanding 7.5 juta pada 1970.
Beliau berkata terdapat enam daerah pentadbiran yang telah mencapai 100 peratus penduduk bandar manakala 45 daerah pentadbiran dengan 100 peratus penduduk luar bandar.
“Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 100 peratus penduduk yang tinggal di kawasan bandar, diikuti Selangor (95.8 peratus), Pulau Pinang (92.5 peratus) dan Melaka (90.9 peratus).
“Sementara itu, Kelantan (44.1 peratus), Pahang (52.8 peratus) dan Perlis (53.8 peratus) mempunyai kadar perbandaran yang paling rendah pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan ‘Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Bandar dan Luar Bandar’ hari ini.
Mohd Uzir berkata Selangor mempunyai penduduk bandar terbesar iaitu 6.7 juta berbanding 4.9 juta pada 2010, diikuti Johor 3.1 juta (2010:2.3 juta) dan Kuala Lumpur 2 juta (2010:1.6 juta), manakala Sabah mempunyai penduduk luar bandar tertinggi iaitu 1.5 juta.
Beliau berkata jumlah tempat tinggal pada 2020 merekodkan 9.6 juta dengan 7.4 juta (76.6 peratus) di kawasan bandar dan 2.2 juta (23.3 peratus) di luar bandar.
“Tempat tinggal di bandar menunjukkan Selangor mempunyai jumlah tertinggi (2.1 juta), diikuti Johor (992.2 ribu) dan Kuala Lumpur (634.6 ribu),” katanya. - Bernama


