Perbelanjaan pelancongan dalam negara melonjak kepada RM78.7 bilion pada 2023 - DoSM

LocalBusiness & Finance
12 Sep 2024 • 4:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

image is not available
dosm

Perbelanjaan pelancongan dalam negara melonjak kepada RM78.7 bilion pada 2023 - DoSM

johardy

12/09/2024 - 16:04

KUALA LUMPUR 12 Sept - Pelancongan domestik Malaysia menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2023 apabila mencatatkan jumlah perbelanjaan RM78.7 bilion berbanding RM59.2 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Akaun Satelit Pelancongan (TSA) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

TSA ialah rangka kerja statistik yang digunakan untuk mengukur prestasi industri pelancongan dan sumbangannya kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan dalam perbelanjaan pelancongan domestik terutamanya disebabkan oleh aktiviti membeli-belah (39.2 peratus), makanan dan minuman (17.5 peratus) dan bahan api automotif (14.3 peratus).

Mengenai pelancongan masuk, DoSM melaporkan peningkatan ketara dalam perbelanjaan, mencecah RM75.8 bilion berbanding RM33.8 bilion pada 2022.

"Prestasi menggalakkan industri pelancongan Malaysia pada 2023 dipengaruhi oleh permintaan yang lebih kukuh daripada perbelanjaan pelancongan dalaman, yang terdiri daripada perbelanjaan masuk dan domestik," katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

Dari segi pekerjaan, Mohd Uzir berkata industri pelancongan menggaji 3.4 juta individu pada 2023, meningkat daripada 3.2 juta pada 2022.

Beliau berkata pekerjaan dalam sektor itu didominasi oleh perdagangan runcit, makanan dan minuman serta perkhidmatan pelancongan khusus negara.

Selain itu, Mohd Uzir berkata sektor pelancongan menyumbang 15.1 peratus atau RM275.8 bilion kepada KDNK pada 2023, meningkat daripada 13.9 peratus atau RM250.1 bilion pada tahun sebelumnya, menandakan pertumbuhan 10.3 peratus.

KDNK Langsung Pelancongan pada 2023 juga menyaksikan peningkatan kepada RM81.2 bilion daripada RM48 bilion pada 2022. - DagangNews.com