Perbelanjaan pengguna kukuh disokong kestabilan pasaran pekerjaan, bantuan kerajaan – RHB Investment
diyana
30/01/2024 - 09:52
KUALA LUMPUR 30 Jan - Perbelanjaan pengguna akan diperkukuh oleh kestabilan pasaran pekerjaan dan bantuan kerajaan yang terus diberikan kepada kumpulan berpendapatan lebih rendah, meskipun perbelanjaan pengguna tidak begitu rancak, kata RHB Investment.
Kekal dengan pendirian ‘neutral’ ke atas sektor barangan pengguna, firma penyelidikan itu berkata penilaian semasa mungkin telah mengambil kira risiko negatif, dan dalam andaian kes asasnya, rasionalisasi subsidi tidak dijangka akan mengurangkan perbelanjaan pengguna.
Firma tersebut berkata andaian ni dibuat berdasarkan bantuan yang masih dihulurkan oleh kerajaan kepada kumpulan berpendapatan lebih rendah dan permintaan yang agak tekal daripada kumpulan berpendapatan tinggi.
“Tambahan lagi, pendekatan bersasar yang mungkin dilaksanakan bakal menyebabkan adanya peralihan tunai daripada kumpulan berpendapatan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah, iaitu kumpulan pengguna yang lebih cenderung untuk berbelanja.
“Selain itu, kedudukan fiskal yang kukuh hasil daripada usaha-usaha reformasi dapat memberikan lebih banyak ruang untuk kerajaan menyemak semula skim gaji bagi penjawat awam (sedang dijalankan). Hasil yang positif dapat menjadi pemangkin besar untuk mendorong perbelanjaan pengguna,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, dari sudut pandangan pelabur, RHB Investment berkata sentimen mereka terhadap sektor barangan pengguna dijangka kekal hambar sehinggalah ada maklumat yang lebih jelas mengenai impak yang mungkin timbul daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Menurut firma itu, prestasi 2023 kurang memberangsangkan apabila sentimen terhadap sektor terjejas oleh kesan asas yang merugikan dan terhakisnya kuasa perbelanjaan pengguna.
Oleh itu, firma tersebut berpendapat bahawa kegusaran utama pelabur akan terus berkisarkan risiko inflasi yang timbul daripada langkah-langkah reformasi, termasuklah rasionalisasi subsidi dan cukai penggunaan.
“Maka, pakar ekonomi kami mengunjurkan pertumbuhan penggunaan swasta yang sederhana untuk 2024 sebanyak 3.3% tahun ke tahun dan kenaikan inflasi kepada 3.3%.
“Akibatnya, sentimen pengguna patut terus hambar, lantas menyebabkan pertumbuhan jumlah jualan yang suram buat kebanyakan syarikat pengguna di bawah liputan kajian kami.
“Keadaan ini juga mungkin akan mengehadkan sebarang pertumbuhan pada harga jualan purata (ASP), maka tidak banyak peluang dijangkakan untuk perkembangan margin untung kasar (GPM),” tambahnya.
Syarikat pilihan utama RHB Investment bagi sektor ini adalah MR DIY Group (M) Bhd dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM2.29 sesaham, diikuti DXN Holdings Bhd (beli, TP: 93 sen), Heineken Malaysia Bhd (beli, TP: RM30) dan Guan Chong Bhd (beli, TP: RM3). - DagangNews.com


