Perbelanjaan penjagaan kesihatan global dijangka cecah RM47.15 trilion menjelang 2026, kata Kenanga Research

Health & Fitness
12 Jun 2024 • 11:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perbelanjaan penjagaan kesihatan global dijangka cecah RM47.15 trilion menjelang 2026, kata Kenanga Research

azan

12/06/2024 - 11:23

KUALA LUMPUR 12 Jun - Perbelanjaan penjagaan kesihatan global dijangka mencecah AS$10 trilion (RM47.15 trilion) menjelang 2026, meningkat daripada AS$8.4 trilion (RM39.6 trilion) mewakili kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.5% dalam tempoh lima tahun.

Kenanga Research berkata, ia jelas menunjukkan peningkatan permintaan orang ramai terhadap penjagaan kesihatan swasta kesan daripada pertambahan penyakit kronik di seluruh dunia.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan bahawa hampir separuh daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan global akan dibelanjakan untuk tiga punca utama kematian iaitu penyakit kardiovaskular, kanser dan penyakit berkaitan pernafasan.

Firma penyelidikan itu berkata, pada tahun ini, IHH Healthcare Bhd dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam hasil bagi setiap pesakit dalam, pengeluaran pesakit dalam dan kadar penghunian katil di seluruh hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turkiye.

"Mereka mengunjurkan hasil setiap pesakit dalam meningkat sebanyak 12% hingga 16%, pengeluaran pesakit dalam sebanyak 9% hingga 12%, dan kadar penghunian katil antara 65% hingga 73%.

"Pertumbuhan ini berikutan kesan asas yang rendah pada 2022, dengan jangkaan mempercepatkan momentum pendapatan disokong oleh intensiti hasil dan permintaan yang meningkat pada separuh kedua tahun fiscal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Kenanga Research berkata, tinjauan pasaran mengunjurkan pasaran farmaseutikal ubat di kaunter (OTC) di Malaysia berkembang pada CAGR sebanyak 6% kepada anggaran AS$715 juta (RM3.2 bilion) menjelang 2027.

Katanya, ia didorong sikap pengguna yang lebih proaktif terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka (termasuk mengambil makanan tambahan asas secara berkala), terutama selepas pandemik COVID-19.

"Trend ini memberi gambaran baik untuk Kotra Industries Bhd yang mengeluarkan dan menjual makanan tambahan OTC serta produk pemakanan dan farmaseutikal di bawah jenama isi rumah utama seperti Appeton, Axcel dan Vaxcel.

"Kami juga menyukai Kotra kerana model perniagaan bersepadunya yang merangkumi keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal daripada R&D, konsep produk kepada pembuatan dan jualan serta margin unggul model perniagaan pembuatan jenama (OBM) asalnya," katanya. - DagangNews.com