Perbincangan Freemason, Mossad satu fitnah yang zalim: Hussamuddin

Politics
19 Nov 2022 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hussamuddin Yaacub

image is not available
Hussamuddin Yaacub. (Gambar dalam) Tangkap layar perkongsian video dan kenyataan berhubung dakwaan tular berkaitan perbincangan berhubung Freemason atau ejen perisikan Israel (Mossad).

SHAH ALAM - Penasihat Kumpulan Karangkraf (Karangkraf), Datuk Hussamuddin Yaacub menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam sebarang majlis perbincangan berhubung Freemason atau ejen perisikan Israel (Mossad) seperti mana dalam video yang tular di media sosial pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, majlis tersebut merupakan sesi dialog biasa antara sekumpulan tokoh-tokoh media, perniagaan dan diplomat bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Menjadi satu kebiasaan orang media diundang ke majlis eksklusif oleh tokoh-tokoh parti politik, pemimpin negara atau negeri, korporat, diplomat, kementerian dan lain-lain.

"Itu 'occupational privilage' (keistimewaan pekerjaan) kami. Adalah kerja kami untuk ada hubungan baik dengan semua pihak

"'Accessibility' (kebolehcapaian) itu penting buat kami," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, tular sebuah video dan kenyataan yang mendakwa bahawa terdapat perbincangan melibatkan tokoh-tokoh pemimpin politik, media, korporat dan lain-lain berhubung Freemason atau Mossad sehari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hussamuddin yang juga pengasas Kumpulan Karangkraf berkata, beliau dan Penasihat Editorial Kumpulan dan Hal Ehwal Korporat Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai turut diundang ke majlis berkenaan atas kapasiti sebagai veteran media.

"Di majlis tersebut, sambil makan tengah hari, DSAI (Anwar) diasak oleh tetamu dengan pelbagai soalan mengenai pilihan raya, ekonomi dan masa depan Malaysia.

"Bagi saya ini sesi soal jawab yang biasa saja.

"Tiada langsung perbincangan tentang Freemason atau Mossad dan perkara-perkara yang sensitif," ujarnya.

Menurutnya, dakwaan tersebut disifatkan sebagai tuduhan fitnah yang zalim.

"Jika orang yang beragama dan takutkan balasan ALLAH SWT di akhirat nanti tak akan buat fitnah sebegini.

"Hentikan kerja kotor ini dan bertaubatlah sebelum terlambat," jelasnya.