Percaya Kepada Kenan Boleh Menjurus Kepada Kesyirikan – Jabatan Mufti N9

LocalOpinion
3 Oct 2024 • 4:05 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Setiap ibu mengandung pasti pernah mendengar terma kenan atau terkenan kepada anak yang dikandungkan.

Sebagai contoh ada yang mengatakan ibu mengandung serta suami perlu menjaga kata-kata, tidak melakukan perkara ‘terlarang’ kerana bimbang perkara tak dingini akan berlaku kepada bayi mereka.

Selain itu ada yang mengaitkan kenan ini dengan perkara yang tidak baik contohnya bayi tak sempurna dengan keadaan fizikal atau karakter haiwan tertentu.

Tak dinafikan ada masyarakat Melayu yang masih memegang kepada kepercayaan tersebut sejak dari zaman dulu lagi dan ia dibawa sehingga ke masa ini sehingga ada generasi yang turut patuh dengan ‘larangan’ berkenaan kerana enggan ia memberi kesan kepada bayi mereka.

Lelaki tanya boleh ke bela ikan hiasan ketika isteri hamil kerana bimbang terkenan pada anak

Perkara ini turut menjadi persoalan buat seorang lelaki yang bertanya kepada Jabatan Mufti Negeri Sembilan menerusi web rasminya mengenai adakah dia boleh membeli ikan hiasan yang mempunyai rupa yang pelik sewaktu isteri sedang hamil.

Pertanyaan itu diajukan kerana bimbang jika ia memberi kesan seperti ‘terkenan’ pada bayi yang dalam kandungan.

Harus hukumnya membeli haiwan ternakan atau hiasan asalkan kebajikan terjaga

Jelas Jabatan Mufti Negeri Sembilan itu, adalah harus untuk membela haiwan ternakan mahupun hiasan asalkan kebajikan mereka termasuk makan dan minum boleh dijaga dengan baik.

Katanya, terlalu percaya kepada kenan adalah satu bentuk kepercayaan yang boleh membawa kepada kesyirikan kerana terdapat keyakinan dalam hati bahawa adanya kuasa lain yang dapat mempengaruhi kehidupannya.

“Sebagai contoh mengaitkan kecacatan dan kemudaratan yang dialami bayi disebabkan oleh binatang tersebut,” ujarnya.

Perlu bertawakal dan bersangka baik kepada Allah SWT

Oleh itu, Jabatan Mufti Negeri Sembilan turut memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak menganggap sesuatu perkara atau makhluk lain akan memberikan keburukan, sial, nasib malang dan sebagainya.

Malah ia adalah perkara yang dilarang oleh-Nya untuk mengelakkan kita daripada mensyirikkan Allah SWT.

“Sebaliknya kita hendaklah sentiasa bertawakal dan bersangka baik kepada ALLAH SWT apabila berlaku musibah, bukan menyalahkan perkara tertentu atau sesuatu itu sebagai pembawa malang atau sial.

“Ingatlah, berpegang teguhlah kepada kekuasaan ALLAH SWT dan serahkanlah segala urusan sepenuhnya kepada-NYA,” ungkapnya.

Ia selari dengan firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah at-Talaq: 3)

Source: