Percaya menang loteri RM500,000, suri rumah serah barang kemas

21 May 2024 • 8:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tular mengenai kejadian seorang wanita dihampiri suspek sebelum menipunya di sebuah pasar raya di Masjid Tanah pada Sabtu lalu.

image is not available
Superintenden Ashari Abu Samah

ALOR GAJAH - Gara- gara percaya memenangi wang loteri RM500,000, seorang suri rumah alami kerugian selepas menyerahkan seutas rantai bersama loket emas serta seutas gelang tangan emas dianggarkan bernilai RM20,000 kepada empat individu termasuk seorang wanita disyaki warga Indonesia pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 10 pagi, mangsa berusia 58 tahun mendakwa didatangi suspek ketika berada di sebuah pasar raya di Masjid Tanah untuk membeli barang keperluan harian.

**media[2659275]**

Menurutnya, suspek yang dianggarkan berusia 40-an hingga 50-an itu kemudian mengatakan kononnya mangsa telah memenangi loteri RM500,000 dan dijanjikan akan mendapatkan RM50,000 sekiranya membantu menunaikan cek tersebut.

Katanya, mangsa yang percaya seterusnya dibawa oleh ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kenderaan menuju ke sebuah kedai nombor ekor yang jaraknya lebih kurang dua kilometer dari lokasi itu bagi urusan pembayaran wang kemenangan tersebut.

"Namun semasa dalam perjalanan, suspek telah minta mangsa cagar barang kemas yang dipakainya dengan alasan mangsa tidak menipu mereka setelah menuntut hadiah tersebut.

"Mangsa menuruti arahan suspek dengan menyerahkan seutas rantai bersama loket emas serta seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM20,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Tambahnya, setiba di kedai nombor ekor berkenaan suspek meminta mangsa menyelesaikan urusan tiket loteri itu sementara mereka berempat menunggu di dalam kereta berwarna kelabu gelap.

"Malangnya semasa mangsa ingin memasuki premis tersebut kereta yang dinaiki kesemua suspek telah beredar.

"Mangsa merasakan dirinya telah diperdaya lalu membuat laporan polis pada hari sama lebih kurang jam 2 petang di Balai Polis Kuala Sungai Baru," ujarnya.

Jelasnya, turut menasihatkan orang awam tidak mengenakan barang kemas yang keterlaluan selain tidak bergerak seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga.

"Ini kerana sindiket seperti ini menyasarkan warga emas yang berseorangan, tidak ditemani dan memakai barang kemas keterlaluan.

"Setakat ini juga tiada kertas siasatan dibuka memandangkan mangsa tidak dapat mengecam suspek," ujarnya lagi.

Baru-baru ini tular di media sosial gambar tangkap layar suspek yang dimuat naik mengenai kejadian tiga individu telah didakwa memukau seorang wanita ketika sedang membeli-belah di sebuah pasar raya di Masjid Tanah.