
PETALING JAYA: Keredaan jerebu susulan tiupan angin Monsun Timur Laut (MTL) bukan alasan untuk melonggarkan usaha menangani pencemaran udara yang berulang setiap tahun.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kelegaan yang dinikmati rakyat ketika ini mungkin bersifat sementara sekiranya tindakan pencegahan dan penguatkuasaan lebih tegas tidak dilaksanakan.
Katanya, masalah jerebu yang berulang sepatutnya menjadi pengajaran bahawa pencemaran udara bukan sekadar isu alam sekitar, malah ancaman serius terhadap kesihatan awam, kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak boleh terus menunggu sehingga jerebu kembali melanda sebelum mengambil tindakan tegas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan perlu mempergiat usaha menangani punca jerebu secara menyeluruh, termasuk pembakaran terbuka, kebakaran hutan dan tanah gambut serta aktiviti lain yang menyumbang kepada pencemaran udara, sama ada di dalam negara mahupun merentasi sempadan.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan mempercepat penggubalan dan pelaksanaan Akta Udara Bersih yang komprehensif bagi memperkukuh usaha pencegahan pencemaran serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Katanya, penggubalan undang-undang itu perlu mengambil kira pandangan pakar alam sekitar, profesional kesihatan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak industri bagi memastikan kerangka perundangan yang diwujudkan mampu menangani masalah pencemaran udara secara berkesan.
“Undang-undang ini perlu menyediakan kerangka kukuh untuk mencegah pencemaran, memperketat pemantauan, meningkatkan penguatkuasaan dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama serantau ASEAN perlu diperkukuh menerusi komitmen lebih tegas, perkongsian maklumat yang berkesan dan tindakan bersama bagi mencegah kebakaran serta pencemaran jerebu rentas sempadan.
Lee Lam Thye turut menekankan kepentingan melindungi kesihatan rakyat melalui sistem pemantauan kualiti udara yang berkesan, penyampaian maklumat tepat pada masanya serta langkah perlindungan khusus kepada golongan rentan.
Menurutnya, kanak-kanak, warga emas dan individu yang mengalami masalah pernafasan perlu diberikan perhatian khusus bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar.
“Pendekatan menangani jerebu perlu beralih daripada tindakan ketika krisis berlaku kepada langkah pencegahan berterusan yang lebih tegas dan berkesan.
“Rakyat Malaysia berhak menikmati udara bersih dan persekitaran sihat. Sudah tiba masanya semua pihak menunjukkan komitmen bersungguh-sungguh supaya jerebu tidak terus menjadi krisis berulang yang terpaksa ditanggung oleh generasi hari ini dan akan datang,” katanya. – UTUSAN
The post Percepat gubal Akta Udara Bersih – Lee Lam Thye appeared first on Utusan Malaysia.
