Perceraian bukan jalan pintas, dapatkan bimbingan profesional – Zulkifli

LocalPolitics
19 Dec 2025 • 8:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Menteri Hal Ehwal Agama Dr Zulkifli Hasan menegaskan perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas, gesa pasangan dapatkan bimbingan profesional

PUTRAJAYA: Perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas, sebaliknya pasangan yang berdepan krisis rumah tangga digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran yang sah dan berautoriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (dalam gambar) berkata kerajaan memandang serius kemuliaan institusi perkahwinan dalam Islam.

Beliau berkata kewujudan perkhidmatan berpenjenamaan seperti “Coach Cerai” telah menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam.

“Sebarang usaha yang memudahkan penceraian tanpa proses islah berisiko menormalisasikan perceraian sebagai jalan pintas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan perkahwinan merupakan satu amanah agama yang mempunyai implikasi besar terhadap kesejahteraan keluarga.

Zulkifli berkata Jabatan Agama Islam negeri telah menyediakan khidmat runding cara dan nasihat melalui kaunselor bertauliah.

“Penyelesaian konflik rumah tangga hendaklah dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan syariah,” katanya.

Proses itu merangkumi nasihat, proses sulh, pelantikan orang tengah serta bimbingan kaunseling berlandaskan nilai syariah.

Khidmat ini boleh diperoleh di Pejabat Agama Islam Negeri dan Mahkamah Rendah Syariah Negeri.

Pasangan juga digalakkan mendapatkan bantuan melalui saluran sah seperti inisiatif Agensi Hal Ehwal Agama di bawah JAKIM iaitu KSKCareCentre (KSKCC).

Pusat itu menawarkan khidmat kaunseling berstruktur, profesional dan berlandaskan pendekatan syariah.

JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyediakan Kursus Pascaperkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan.

Portal media tempatan hari ini melaporkan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam tindakan individu yang menggelar diri “Coach Cerai”.

PPMM membantah kerana ia mengelirukan dan menjejaskan proses rundingan serta perdamaian pasangan suami isteri. – Bernama