Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.5% kepada RM142.3 bilion pada Oktober 2023 - DOSM

LocalBusiness & Finance
11 Dec 2023 • 2:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.5% kepada RM142.3 bilion pada Oktober 2023 - DOSM

zulfadli

11/12/2023 - 14:36

KUALA LUMPUR 11 Dis - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.3 bilion, meningkat 6.5% tahun ke tahun pada Oktober 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagaimanapun, nilai jualan jatuh marginal -0.3% berbanding September 2023, kata jabatan itu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 6.5% tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Oktober 2023 disumbangkan subsektor perdagangan borong yang meningkat 5.7% atau RM3.4 bilion kepada RM63.3 bilion.

Katanya, perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 3.9% atau RM2.3 bilion kepada RM60.6 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 19.1% atau RM3 bilion untuk berada pada RM18.4 bilion.

Sementara itu, penurunan marginal -0.3% berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan perdagangan borong yang menguncup -1.4%, diikuti perdagangan runcit dengan -0.8%. Sebaliknya, kenderaan bermotor kembali mencatatkan pertumbuhan positif 5.2%.

Mohd Uzir berkata, melihat kepada prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan 5.7% tahun ke tahun bagi perdagangan borong disumbangkan lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.7 bilion atau 7.5% kepada RM24.4 bilion.

Katanya ia diikuti jualan borong barangan isi rumah (4.7%), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (8.9%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (3.3%), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (3.4%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (5.7%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (4.2%).

image is not available

"Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong jatuh -1.4 peratus, terutamanya disebabkan lain-lain pengkhususan jualan borong (-2.8%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (-2.5%) dan jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (-3.5%)," katanya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, kenaikan 3.9% tahun ke tahun pada bulan ini disokong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.1% atau RM1.3 bilion kepada RM22.9 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (10.8%), jualan runcit di kedai pengkhususan (2.2%), jualan runcit bahan api kenderaan (4.8%), jualan runcit barangan isi rumah (2%), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (1.5%), jualan runcit di gerai dan pasar (5.2%) dan jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (0.2%).

Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini turun -0.8%, didorong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (-1.2%), jualan runcit di kedai pengkhususan (-1.1%), jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi (-1.4%) dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (-1.3%).

Menurut Mohd Uzir, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 19.1% bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini dipacu jualan kenderaan bermotor yang melonjak 24.6% atau RM2 bilion untuk merekodkan RM10.3 bilion.

Katanya, ia diikuti jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (16.1%) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (17.7%).

"Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini tumbuh 5.2%, disokong jualan kenderaan Bermotor (8.6%), jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (7%), jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (0.4%) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (0.5%)," katanya.

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini jatuh -0.3% tahun ke tahun pada Oktober 2023 berbanding 2% pada September 2023. Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot -1.5% berbanding bulan sebelum.

Beralih kepada indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Oktober 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5%.

Pengembangan itu disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (15.8%), perdagangan borong (4.7%) dan perdagangan runcit (2.3%). Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun -2.2% bulan ke bulan. - DagangNews.com

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved