Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat pertumbuhan 12.4% pada Januari 2023

13 Mar 2023 • 3:37 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM135.1 bilion, meningkat 12.4 peratus pada Januari 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar) berkata, kenaikan tersebut disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM10.6 bilion atau 21.7 peratus kepada RM59.6 bilion.

Beliau berkata kenderaan bermotor juga berkembang 20.1 peratus atau RM2.5 bilion kepada RM15.2 bilion, manakala perdagangan borong meningkat 3.1 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM60.4 bilion.

“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menurun -1.6 peratus, terutamanya disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang merosot -13.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Uzir, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 21.7 peratus pada Januari 2023 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 24.6 peratus atau RM4.5 bilion kepada RM22.7 bilion.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 0.2 peratus,” katanya.

Ketua Perangkawan itu berkata pertumbuhan 20.1 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 25.0 peratus atau RM1.5 bilion kepada RM7.7 bilion.

“Bagaimanapun, bagi perbandingan secara bulanan, jualan subsektor ini menurun sebanyak -13.4 peratus, dipengaruhi oleh penurunan jualan kenderaan bermotor yang merosot -23.4 peratus,” tembah beliau.

Berhubung subsektor perdagangan borong, kenaikan 3.1 peratus disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.0 bilion atau 8.6 peratus kepada RM12.8 bilion.

Bagi perbandingan secara bulanan, perdagangan borong meningkat 0.1 peratus yang disumbangkan terutamanya oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat 4.4 peratus atau RM0.5 bilion kepada RM12.8 bilion.

Selain itu, Mohd Uzir memaklumkan indeks jualan runcit melalui internet pada Januari 2023 merekodkan pertumbuhan 9.6 peratus tahun ke tahun (Disember 2022: 10.2 peratus).

“Bagi pelarasan musim, indeks ini meningkat 1.3 peratus berbanding bulan sebelumnya,” kata beliau.

Dari segi indeks volum pula, perdagangan borong dan runcit pada Januari 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.6 peratus disumbangkan oleh perdagangan runcit yang meningkat 16.2 peratus.

“Kenderaan bermotor dan perdagangan borong juga merekodkan pertumbuhan positif dengan peningkatan masing-masing 10.8 peratus dan 0.3 peratus.

“Bagaimanapun, indeks volum pelarasan musim jatuh -4.4 peratus dari bulan ke bulan,” kata Mohd Uzir. -Bernama