Perdana Menteri Kembali Bertugas Selepas Pemeriksaan Kesihatan Di IJN

LocalPolitics
5 Feb 2023 • 6:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim bertugas di pejabatnya bersama Shamsul Iskandar Md Akin serta Nurul Izzah Anwar - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambung tugas hariannya sebagai Perdana Menteri, selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi.

Perdana Menteri memaklumkan, doktor mengesahkan kesihatannya berada pada tahap baik.

“Pagi tadi saya menjalani pemeriksaan kesihatan di IJN.

“Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf. Alhamdulillah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Anwar turut memuat naik gambar beliau sedang bertugas di pejabatnya bersama tiga individu, termasuk Setiausaha Politik, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin serta anaknya yang juga Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ketidakhadiran Anwar pada sambutan Thaipusam di Batu Caves di Gombak, Selangor, hari ini kerana beliau dilaporkan tidak sihat.

Katanya, perkara itu dimaklumkan Anwar ketika menghubunginya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy di situ.

“Perdana Menteri sepatutnya hadir ke sambutan Thaipusam (di Batu Caves) hari ini, namun beliau menghubungi saya pagi tadi memaklumkan beliau tidak sihat dan terpaksa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – Getaran, 5 Februari 2023