Perdana Menteri umum peruntukan tambahan RM30 juta selenggara Jalan Raya Timur Barat

Politics
24 Aug 2023 • 4:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perdana Menteri umum peruntukan tambahan RM30 juta selenggara Jalan Raya Timur Barat

zakisalleh

24/08/2023 - 16:22

GERIK 24 Ogos - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM30 juta bagi kerja-kerja naik taraf Jalan Raya Timur Barat (Jalan Persekutuan FT04) yang menghubungkan Gerik-Jeli.

Dana itu adalah tambahan kepada peruntukan penyelenggaraan jalan berkenaan sebanyak RM45.676 juta yang telah diluluskan tahun ini.

Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara tersebut ketika Majlis Pelancaran Kempen MYJALAN KKR di Jeti Awam, Pulau Banding di sini.

Menurutnya, untuk permohonan kewangan yang lain, beliau akan mempertimbangkan permohonan tersebut dalam Belanjawan MADANI ke-2 pada bulan Oktober.

image is not available
Anwar bersama Alexander (tiga dari kiri) dan Saarani (dua dari kiri) semasa merasmikan Pelancaran Kempen MYJALAN KKR di Jeti Awam, Pulau Banding, Gerik.

"Untuk jalan-jalan ini walaupun permintaan itu banyak, tetapi nanti saya akan kaji dalam Belanjawan MADANI ke-2, bulan Oktober. Hari ini, saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan," katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Pada majlis sama Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian wang sagu hati sebanyak RM1,000 kepada 87 orang bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat untuk menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan.

Pembinaan laluan ini yang juga merupakan ‘Lebuhraya Pertahanan’ dibina sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis semasa era Insurgensi pada 1970.

image is not available
Tugu peringatan yang dibina bagi mengenang pengorbanan pekerja-pekerja JKR yang terlibat dalam pembinaan Jalan Raya Timur Barat.

image is not available
Jalan Raya Timur Barat yang merentasi Tasik Banding.

Sepanjang tempoh pembinaannya juga menyaksikan pekerja Jalan Kerja Raya (JKR) diserang oleh komunis pada 27 Ogos 1974 yang mengorbankan tiga nyawa dan meninggalkan kecederaan kekal kepada mereka terlibat.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya, memohon peruntukan tambahan untuk beberapa Jalan Persekutuan yang memerlukan penambah baikan.

Antaranya adalah kos sebanyak RM40 juta di Jalan Raya Timur Barat, RM35 juta bagi Jalan Kuala Kangsar ke Gerik dan Pengkalan Hulu.

Turut dimohon ialah peruntukan sebanyak RM19 juta untuk laluan Simpang Pulai ke Blue Valley dan RM12 juta untuk Jalan Tapah-Cameron Highland. - DagangNews.com